NOVAK DJOKOVIC
NOVAK DJOKOVIC

DOHA: Novak Djokovic mengakui dia terpaksa berjuang selepas ketinggalan set pertama sebelum menewaskan pemain nombor 36 dunia dari Hungary, Marton Fucsovics di Terbuka Qatar, awal pagi tadi.

Pemain nombor satu dunia itu dipaksa bekerja keras sebelum menang 4-6, 6-4, 6-1 dan mengakui lawannya itu hampir memenangi perlawanan.

"Pada dua set pertama dia pemain lebih baik,” kata juara dua kali Terbuka Qatar itu.

"Marton bermain dengan mantap, bijak tukar rentak dengan kepantasan bola dan memaksa saya bergerak seluruh gelanggang.

"Saya terpaksa bekerja keras dan berjuang memberi tentangan sebelum menang,” kata Djokovic.

Aksi mereka berlangsung dua jam, tidak seperti ketika bintang Serbia itu menewaskan Damir Dzumhur pada pusingan pertama yang berlangsung kurang sejam.

Selepas berhempas-pulas, pukulan kilas memastikan kemenangan Djokovic. Itupun selepas dia mematahkan sevis Fucsovics pada ‘game’ ke-10 pada set kedua bagi memaksa perlawanan ke ‘shootout’ set akhir.

"Saya tahu kualiti dimilikinya terutama ketika rentak perlahan, jadi saya jangka perlawanan ini dipenuhi dengan rali, sangat fizikal dan terbukti benar.”

Pilihan pertama itu akan menentang pilihan kelima Nikoloz Basilashvili di suku akhir.

Pemain Georgia itu menewaskan pemain Russia, Andrey Rublev yang juga naib juara 2018, 6-3, 6-4, semalam.

Jika Djokovic menang dia dijangka menentang Stan Wawrinka di separuh akhir selepas pemain Switzerland itu menewaskan pemain, Chile Nicolas Jarry 6-4, 7-6 (7/3). - AFP

Keputusan pusingan kedua Terbuka Qatar

Novak Djokovic (SRB x1) mn Marton Fucsovics (HUN) 4-6, 6-4, 6-1

Stan Wawrinka (SUI) mn Nicolas Jarry (CHI) 6-4, 7-6 (7/3)

Roberto Bautista Agut (ESP x7) mn Guillermo Garcia-Lopez (ESP) 6-1, 6-4

Dusan Lajovic (SRB) mn Ricardas Berankis (LTU) 7-6 (7/4), 0-6, 7-5

Marco Cecchinato (ITA x4) mn Guido Pella (ARG) -- tarik diri

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 9:15 AM