GELAGAT penyokong yang memberi sokongan kepada Murray.
GELAGAT penyokong yang memberi sokongan kepada Murray.
AFP

Melbourne: Andy Murray mengetepikan Sam Querrey semalam sekali gus mencerahkan peluang untuk merangkul gelaran Terbuka Australia buat kali pertama apatah lagi juara enam kali, Novak Djokovic sudah tersingkir.

Beraksi di bawah cuaca sejuk di Melbourne, pemain nombor satu dunia itu serta pilihan utama kategori wanita Angelique Kerber masing-masing melangkah ke pusingan seterusnya.

Murray berada di tempat duduk penonton dan menyaksikan pilihan kedua, Djokovic, dikejutkan oleh pemain di ranking ke-117 dunia, Denis Istomin kelmarin.

Querrey turut memalukan Djokovic di Wimbledon tahun lalu tetapi Murray masih belum mempamerkan tanda-tanda yang dia akan dikalahkan lawannya di kejohanan kali ini.

Murray mengalahkan Querrey 6-4, 6-2, 6-4 dalam tempoh tidak sampai dua jam, memperoleh 77 peratus mata hasil servis pertama dan hanya berdepan tiga mata penamat lawan.

Bintang Scotland itu dilihat tidak terganggu dengan kecederaan pergelangan kaki kanannya - tidak seperti ketika dia mengalahkan Andrey Rublev di pusingan kedua.

“Saya rasa semakin baik apatah lagi rentak permainan berlangsung mengikut kehendak saya,” katanya. “Pergelangan kaki saya agak bengkak dan saya bermula perlahan tetapi ketika perlawanan berada di pertengahan, ia tidak lagi membimbangkan.”

Lawan di pusingan keempat yang menanti Murray ialah Mischa Zverev - abang kepada pemain Jerman Alexander yang mengatasi pemain Tunisia Malek Jaziri.

Pemenang pertemuan itu akan menentang sama ada Roger Federer atau Tomas Berdych.

Sementara itu, dalam kategori wanita, Angelique menang 6-0, 6-4 ke atas Kristyna Pliskova yang menduduki tangga ke-58 dunia. Dia adalah kembar kepada pilihan kelima dari Czech Karolina.

Juara bertahan dari Jerman itu bermula agak perlahan di kejohanan kali ini dan dia terpaksa bertarung hingga tiga set di pusingan pertama dan kedua.

Tetapi belang Angelique mula terserlah ketika menentang Kristyna dan dia hanya memerlukan 55 minit untuk menang dan bakal bertemu pemain Amerika Syarikat Coco Vandeweghe yang mengalahkan bintang Kanada Eugenie Bouchard di kelompok 16 terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2017 @ 5:22 AM