BARISAN perenang negara yang meraih emas 4x200m.
BARISAN perenang negara yang meraih emas 4x200m.
Syazwan Msar


Ubon Ratchathani: Kuartet renang 4X200 meter (m) gaya bebas lelaki negara melakukan kejutan pada hari keempat Sukan Universiti Asean (Asean) apabila mereka berjaya memecah rekod temasya di Kampus Ban Yang Noi, sebentar tadi.

Jelas sekali kuartet negara yang dibarisi Wilson Sim, Sebastian Soon, Low Zheng Yong dan Terence Ng Shin Jie sukar digugat apabila menamatkan perlumbaan di tempat pertama menerusi catatan masa 7 minit 32 saat.

Catatan terbabit sekali gus menyaksikan wakil negara meraih pingat emas manakala perak milik Indonesia dan tuan rumah pula berpuas hati dengan gangsa.

Mengikut rekod, kejayaan itu mengulangi pencapaian dilakukan pada edisi 2018 di Myanmar apabila wakil Malaysia meraih emas dalam acara berkenaan sekali gus membuktikan penguasaan negara cukup sukar digugat perenang negara lain.

Sementara itu, acara 400m individu lelaki menyaksikan emas dan perak milik negara menerusi Sebastian Soon serta Low Zheng Yong.

Turut menyinar di kolam renang pada hari ini membabitkan acara 400m individu wanita apabila perak dan gangsa milik negara yang disumbangkan Chia Tong serta Ong Yong Qi.

Lain-lain acara menyaksikan Malaysia turut membawa pulang pingat adalah membabitkan acara 400 m kuak dada lelaki Ng Jing Fu (gangsa).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2022 @ 8:21 PM