WELSON tekad rampas emas 200m gaya bebas. -FOTO NSTP
WELSON tekad rampas emas 200m gaya bebas. -FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Walaupun tidak diletakkan harapan tinggi pasukan renang negara berazam untuk memberikan persembahan terbaik di Sukan Sea Hanoi apabila acara itu bermula esok di Pusat Akuatik My Dinh.

Menurut pengurus pasukan, Tan Chin Chin, perenang negara yang membabitkan 14 atlet sudah tiba di Hanoi sejak Rabu lalu untuk menyambung latihan dan mencuba kolam renang di veneu pertandingan.

"Mereka semua berada dalam keadaan baik dan masih meneruskan latihan seperti biasa termasuk semalam serta hari ini. Cuma bezanya kami hanya berlatih di sebelah pagi saja semalam kerana kolam renang ditutup disebabkan upacara perasmian.

"Hari ini kami berlatih pagi dan petang serta bertekad untuk cuba yang terbaik apabila acara ini berlangsung esok," katanya.

Sementara itu, jaguh renang negara, Welson Sim bertekad untuk merampas semula emas dalam acara 200 meter (m) gaya bebas selepas ia terlepas di tangan perenang Singapura, Darren Chua di Manila pada 2019.

"Saya harap mampu merampas semula emas 200m gaya bebas dan berharap dapat memecahkan kebuntuan, seterusnya meraih pingat pertama 100m gaya bebas," katanya dalam portal yang berpangkalan di Britain, Tatler.

Dalam acara renang pada edisi 2019, skuad negara meraih dua emas, dua perak dan tiga gangsa sekali gus menutup kempen berkenaan di tangga ketiga keseluruhan. Singapura meraih 23 emas, 10 perak dan empat gangsa untuk muncul juara keseluruhan manakala Vietnam berada di tangga kedua, 10 emas, enam perak dan sembilan gangsa.

Selain Welson Malaysia mempertaruhkan, Khiew Hoe Yean, Jayden Tan, Job Tan, Ananda Lim, Hii Puong Wei, Arvin Shaun Singh Chalal, Ng Jing Fu, Sebastian Soon, Lau Zheng Yong, Bryan Leong (lelaki), Phee Jinq En, Alicia Li Ann Soosai, Goh Chia Tong (wanita).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 1:59 PM