ALCARAZ mengucup trofi selepas muncul juara Wimbledon. FOTO REUTERS
ALCARAZ mengucup trofi selepas muncul juara Wimbledon. FOTO REUTERS
Reuters

London: Novak Djokovic masih cuba menerima kegagalannya mempertahankan gelaran Wimbledon kepada Carlos Alcaraz, apabila seorang wartawan bertanya kepadanya, sama ada final semalam itu adalah permulaan kepada permusuhan hebat.

Ironinya, sekalipun Djokovic masih berada di kemuncak, dia kini berusia 36 tahun dan kemungkinan semakin menghampiri penghujung kariernya yang dipenuhi pelbagai rekod.

"Saya harap begitu, demi diri saya. Dia akan menyertai jelajah untuk tempoh yang lama," kata pemain Serbia itu.

"Saya tidak tahun berapa lama lagi saya akan terus bersaing."

Persaingan antara Djokovic dengan Roger Federer dan Rafa Nadal serta Andy Murray, menghiasi sukan ini selama hampir dua dekad dan kali ini antara dia dengan Alcaraz, jadi pertarungan lima jam di final kelmarin, akan menjadi pemangkin kehangatan.

Dia menentang Federer sebanyak 50 kali termasuk 17 di kejohanan utama; berdepan Nadal 59 kali termasuk 18 di kejohanan utama dan Murray sebanyak 36 kali termasuk 10 pada aksi Grand Slam.

Setakat ini, dia sudah berdepan Alcaraz, 20, sebanyak tiga kali.

Prospek pertarungan mereka di Terbuka Amerika Syarikat (AS) beberapa minggu lalu memang menarik, tetapi sama ada juara 23 kali Grand Slam, Djokovic mampu bertahan untuk menentang Alcaraz, masih menjadi persoalan.

"Saya fikir ia bagus untuk sukan ini, pemain nombor satu dan dua dunia bertarung selama lima jam yang penuh debaran. Tiada yang lebih baik bagi sukan ini," kata Djokovic.

Bagaimanapun, realitinya, Alcaraz yang menduduki ranking pertama dunia akan kekal tanpa pesaing hebat kerana generasi berikutnya jauh ketinggalan berbanding pemain Sepanyol itu.

"Siapa akan menentang pemain ini dalam masa beberapa tahun lagi," soal juara Wimbledon 1987, Pat Cash selepas Alcaraz menamatkan 34 perlawanan tanpa kalah dilakar Djokovic di gelanggang rumput itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 10:01 PM