DJOKOVIC terpaksa diberi rawatan ketika berdepan perlawanan menentang pemain Argentina, Francisco Cerundolo. -FOTO AFP
DJOKOVIC terpaksa diberi rawatan ketika berdepan perlawanan menentang pemain Argentina, Francisco Cerundolo. -FOTO AFP
AFP

Paris: Perkara yang paling ditakuti Novak Djokovic menjadi kenyataan apabila dia mengalami kecederaan lutut sehingga memaksanya menarik diri daripada meneruskan perjuangan di Terbuka Perancis sementara juara bertahan wanita Iga Swiatek melangkah ke separuh akhir.

Sementara itu peluang Carlos Alcaraz merangkul gelaran juara Roland Garros semakin cerah selepas penarikan diri Djokovic dan pastinya akan ada nama baharu yang akan menjulang pada trofi kategori lelaki.

Pemain nombor satu dunia dan pemenang Grand Slam 24 kali Djokovic menarik diri menjelang suku akhir menentang Casper Ruud selepas imbasan mendedahkan lutut kanannya mengalami kecederaan meniskus medial terkoyak.

Djokovic yang berusia 37 tahun menyalahkan gelanggang Roland Garros yang "licin" ketika dia melakar kemenangannya pada pusingan 16 terakhir Isnin lalu.

"Saya sangat sedih untuk mengumumkan bahawa saya perlu menarik diri daripada Roland Garros," tulis Djokovic di media sosial.

"Saya dan pasukan saya terpaksa membuat keputusan yang sukar selepas pertimbangan dan perundingan yang teliti."

Ruud yang tewas kepada Djokovic pada perlawanan akhir tahun lalu akan menentang sama Alexander Zverev atau Alex de Minaur pada separuh akhir Jumaat ini.

Penarikan diri Djokovic akibat kecederaan daripada kejohanan itu juga bermakna Jannik Sinner bergelar pemain nombor satu dunia yang pertama dari Itali dalam sukan itu minggu depan.

Buat pertama kali sejak 2004, perlawanan akhir lelaki di Paris tidak akan menampilkan Djokovic, Rafael Nadal atau Roger Federer.

Pilihan kedua Sinner mara ke separuh akhir Roland Garros yang pertama selepas menewaskan Grigor Dimitrov dari Bulgaria 6-2, 6-4, 7-6 (7/3).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2024 @ 9:55 AM