ELAINE alami kecederaan betis.
ELAINE alami kecederaan betis.
AFP

Kingston, Jamaica: Juara dua kali Olimpik 100 meter (m) dan 200m wanita, Elaine Thompson-Herah, 31, dari Jamaica, tidak akan mempertahankan gelarannya di Sukan Olimpik Paris bulan depan selepas gagal pulih daripada kecederaan betis, kata bintang pecut itu hari ini.

Elaine yang memenangi pingat emas berganda 100m dan 200m pada Olimpik 2016 serta 2020 mengesahkan keputusannya selepas menarik diri daripada ujian pemilihan Jamaica minggu ini.

"Saya berasa sedih dan kecewa kerana terpaksa melepaskan Olimpik tahun ini tetapi ini sukan semata-mata dan kesihatan saya paling utama," kata Elaine dalam satu kenyataan yang dikongsi di media sosial.

Elaine melupakan hasrat mempertahankan gelaran 200m di Paris selepas memilih untuk tidak mengambil bahagian dalam ujian pemilihan Jamaica di Kingston minggu ini.

Namun begitu, dia menyertai acara 100m di ujian tersebut dan masih berharap dapat bersaing di Paris dalam acara lebih pendek.

Kecergasan Elaine diragui sejak dia bertanding dalam satu perlumbaan di New York awal bulan ini, di mana dia terpaksa diusung keluar dari trek selepas mengalami kecederaan betis.

Dalam kenyataannya hari ini, Elaine berkata dia menyedari kecederaan itu serius sejurus selepas ia berlaku.

"Saya duduk di atas trek kerana saya tidak dapat memberi tekanan pada kaki sama sekali semasa saya diusung keluar dari trek," kata Elaine.

Pemeriksaan perubatan kemudian mendedahkan 'koyakan kecil' pada betis, katanya.

"Yang lucunya, saya pulang ke rumah dengan minda yang kuat untuk terus berusaha dan bersiap bagi menghadapi kejohanan ujian dan satu lagi peluang ke Olimpik ketiga saya tetapi kaki saya tidak mengizinkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 12:26 PM