RATU pecut Jamaica, Elaine Thompson-Herah menang emas acara 200m wanita di Tokyo 2020, hari ini. FOTO AFP
RATU pecut Jamaica, Elaine Thompson-Herah menang emas acara 200m wanita di Tokyo 2020, hari ini. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Ratu pecut Jamaica, Elaine Thompson-Herah mencipta sejarah Sukan Olimpik di Tokyo 2020 apabila menang emas acara 200 meter (m) wanita, hari ini, sekali gus juara berganda-ganda pecut wanita.

Elaine yang menang emas acara 100m dan 200m di temasya Olimpik Rio 2016, mempertahankan gelaran 100m pada Sabtu lalu dan hari ini merangkul emas keempat individu dengan catatan 21.53 saat.

Pelari pecut Namibia, Christine Mboma menang perak dengan catatan 21.81s manakala pelari Amerika Syarikat (AS), Gabby Thomas menang gangsa dengan catatan 21.87s.

Elaine, 29, mencatat masa kedua terpantas dalam sejarah selepas rekod dunia Florence Griffith Joyner, 21.34s dilakukan di Olimpik Seoul 1988, yang dicemari penggunaan dadah perangsang.

Selepas muncul wanita pertama menang acara 100m dan 200m berganda, Elaine turut muncul atlet wanita pertama menang empat emas individu bagi acara trek dan padang di Sukan Olimpik.

Dia bermula dengan laju dan langsung tidak digugat pelari lain.

Wujud kemungkinan Gabby dan pelari Jamaica, Shelly-Ann Fraser-Pryce akan menang perak dan gangsa, tetapi kedua-duanya dipintas Christine 20 meter sebelum garisan penamat, sekali gus perak milik pelari Namibia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 9:41 PM