ATLET Jamaica, Elaine Thompson-Herah bersama pingat emas dimenangi dalam acara 100m di Sukan Olimpik Tokyo 2020. FOTO REUTERS
ATLET Jamaica, Elaine Thompson-Herah bersama pingat emas dimenangi dalam acara 100m di Sukan Olimpik Tokyo 2020. FOTO REUTERS
AFP

Los Angeles: Ratu pecut Sukan Olimpik dari Jamaica, Elaine Thompson-Herah akan berlari dalam acara 100 meter wanita di Liga Prefontaine Classic Diamond di Oregon, hujung minggu ini, umum penganjur, pada Isnin.

Elaine yang juga juara 100m dan 200m di Sukan Olimpik 2016 dan 2020 akan membakar trek di Hayward Field di Eugene pada Sabtu ini, bersama barisan pelari berbakat lain.

Sabtu lalu, atlet berusia 29 tahun itu sepatutnya menyertai Liga Birmingham Diamond pada Sabtu lalu, namun menarik diri pada saat akhir kerana kesakitan bahu.

Sebaliknya, Elaine bertanding di Kingston pada hujung minggu dan memenangi acara 100m dengan catatan 10.94 saat dan turut memenangi acara 200m dengan masa 22.55s.

Pada Sabtu ini, Elaine sekali lagi akan berlumba bersama bintang Amerika Syarikat (AS) Sha'Carri Richardson.

Sha'Carri memenangi pemilihan ke Olimpik AS pada tahun lalu yang turut diadakan di Hayward Field, tetapi tidak dibenarkan menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020 kerana didapati positif ganja.

Atlet berusia 22 tahun itu berlumba dengan Elaine di Prefontaine selepas Olimpik tahun lalu, tetapi menduduki tempat terakhir.

Atlet ternama lain dijangka bertanding dalam acara 100m hujung minggu ini adalah juara dunia 200m dari Britain, Dina Asher-Smith dan pemenang gangsa 100m di Sukan Olimpik, Shericka Jackson.

Selain itu, pemenang pingat perak Kejuaraan Dunia 2019, Marie-Josee Ta Lou; juara dunia remaja 100m 2019, Briana Williams dan juara 60m dalam dewan, Mujinga Kambundji.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2022 @ 8:59 AM