ELAINE (tengah) tidak mengambil bahagian dalam acara 200m Kejohanan Kebangsaan Jamaica. FOTO Reuters
ELAINE (tengah) tidak mengambil bahagian dalam acara 200m Kejohanan Kebangsaan Jamaica. FOTO Reuters
AFP

Paris: Elaine Thompson Herah tidak akan mencuba melakar hatrik emas berganda pecut Olimpik di Paris bulan depan selepas namanya tiada dalam perlumbaan 200 meter (m) Kejohanan Kebangsaan Jamaica.

Pelari berusia 31 tahun itu memenangi kedua-dua emas 100m dan 200m pada Sukan Olimpik Rio 2016 dan Sukan Tokyo 2021 yang ditangguhkan akibat Covid-19.

Pendaftaran untuk kejohanan kebangsaan 27 hingga 30 Jun di Kingston ditutup pada hari Isnin, dengan penyertaan disenaraikan di laman web persekutuan Jamaica, dan Elaine hanya bersaing dalam 100m.

Dalam perlumbaan terbaharunya awal bulan ini, di New York, Elaine ketinggalan di tempat terakhir dan kemudiannya diusung keluar dari trek dengan media Jamaica melaporkan dia mengalami kecederaan Achilles.

Shelly Ann Fraser Pryce, bagaimanapun, didaftarkan untuk kedua-dua larian pecut itu.

Shelly Ann, 37, memenangi emas 100m Olimpik pada 2008 dan 2012 dan juga menggondol lima gelaran dunia dalam acara riben biru sebagai sebahagian daripada kutipan 16 pingatnya pada kejohanan itu sejak Berlin pada 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 10:04 PM