TRIO recurve wanita negara (berdiri kiri) mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Paris 2024. FOTO   Ariana Nur Dania Mohamad Zairi
TRIO recurve wanita negara (berdiri kiri) mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Paris 2024. FOTO Ariana Nur Dania Mohamad Zairi
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: "Kami datang ke sini (Antalya, Turki) dengan harapan tetapi tidak menjangkakan langsung untuk layak ke Olimpik."

Itu luahan kegembiraan atlet memanah negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi selepas dia bersama dua lagi rakannya Nurul Azreena Mohamad Fazil dan Syaqiera Mashayikh melayakkan diri menerusi acara memanah berpasukan recurve di Sukan Olimpik Paris 2024.

Paling menggembirakan, trio memanah negara itu melakar sejarah menjadi pasukan wanita pertama beraksi di temasya Olimpik.

Ketika harapan lebih terarah kepada pasukan trio lelaki, gandingan tiga pemanah muda negara itu melakarkan kejutan melangkah ke Paris selepas muncul naib juara pada Kejohanan Kelayakan Memanah Akhir di Antalya, Turkiye, semalam.

Mereka mengesahkan tempat ke Paris selepas lolos ke separuh akhir apabila mengalahkan pasukan Colombia yang diwakili Ana Maria Rendon, Valentina Acosta Giraldo dan Maira Sepulveda 6-0 dalam saingan suku akhir.

"Alhamdulillah. Ia kejayaan cukup menggembirakan sebab kami tak menjangkakan akan dapat ke Olimpik.

"Namun saya dan rakan sepasukan sudah melakukan persiapan untuk berdepan situasi ini. Sudah banyak kami korbankan, masa, tenaga untuk menjalani latihan demi saat berharga ini," kata Ariana, ketika dihubungi.

Mereka mara ke final selepas berjaya menewaskan Megan Havers, Bryony Pitman dan Penny Healey dari Great Britain 5-3 dalam aksi separuh akhir.

Bagaimanapun, mereka terpaksa akur dengan kehebatan pemanah dari China iaitu Yang Xiaolei, Li Jiaman dan An Qixuan apabila tewas 4-5 pada final, sekali gus menyaksikan Malaysia membawa pulang perak acara recurve berpasukan wanita.

Terdahulu, Ariana sudah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris dalam acara recurve wanita individu, selepas memenangi pingat emas Kejohanan Kelayakan Benua Asia di Bangkok, November tahun lalu.

Susulan kejayaan layak dalam acara berpasukan recurve wanita, Nurul Azreena dan Syaqiera secara automatik layak beraksi dalam saingan individu di Paris nanti.

Ketiga-tiga pemanah wanita negara itu selepas ini akan beraksi dalam saingan Piala Dunia yang bermula Selasa ini di venue sama sebagai persiapan terakhir sebelum ke Sukan Olimpik Paris.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 3:56 PM