SHEREEN bakal memulakan karier olahraga profesional di Amerika Syarikat.
SHEREEN bakal memulakan karier olahraga profesional di Amerika Syarikat.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pelari 400 meter (m) wanita negara, Shereen Samson Vallabouy menjangkakan sesuatu yang menakjubkan bakal berlaku sebaik dia memulakan karier olahraga profesional di Amerika Syarikat (AS), kelak.

Ini kerana atlet berusia 25 tahun akan tamat pengajiannya di Universiti Winona State, Minnesota seterusnya kekal di bumi Uncle Sam itu untuk meneruskan karier sebagai pelari profesional negara.

Pelumba itu menutup perjalanannya bersama Winona sebagai juara Divisyen 2 NCAA, dua tahun berturut-turut bagi acara 400m selepas memenanginya pada edisi di Stadium Thunderbowl, Colorado, semalam.

Pemenang pingat emas 400m wanita di Sukan Sea Kemboja itu berterima kasih kepada dua jurulatihnya, Mason Rebarchek dan Derrick White yang menjadi 'tulang belakang' kepada peningkatan hebat perkembangan prestasinya.

"Saya terpukau dengan diri sendiri kerana setiap kejayaan ini tidak diraih dengan mudah. Bertarung dengan Covid-19 sebelum ini, jatuh dan bangkit semula sebelum mempertahankan kejuaraan kebangsaan ini sekali lagi.

"Sekarang saya juara kebangsaan empat kali untuk 400m bagi kedua-dua musim outdoor dan indoor selama dua tahun berturut-turut. Kejayaan ini tidak hadir tanpa sistem sokongan di sekeliling saya," katanya.

"Terima kasih kepada semua kerana ia amat bermakna. Sekarang saya mendaftar keluar untuk meneruskan karier secara profesional di Florida bersama Life Speed Athletics," katanya.

Fokus pemegang rekod kebangsaan bagi 400m dengan catatan 51.80 saat (s) itu kini terarah untuk layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024 dengan melepasi masa kelayakan ditetapkan iaitu 50.95s.

Pada masa sama, Shereen mempersiapkan dirinya mencipta sejarah buat Malaysia sebagai pemenang pingat di pentas Sukan Asia Hangzhou di China, September depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2023 @ 7:09 PM