Jojo tewas kepada Duy Nhat dalam pertarungan yang berlangsung di Impact Arena, Bangkok. -FOTO One Championship
Jojo tewas kepada Duy Nhat dalam pertarungan yang berlangsung di Impact Arena, Bangkok. -FOTO One Championship
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Hasrat jaguh Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar untuk mencatat kemenangan sulung 2024 tidak kesampaian apabila tumpas kepada petarung dari Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat dalam perlawanan ONE Championship 167 di Impact Arena, Bangkok sebentar tadi.

Johan yang berusia 18 tahun terpaksa akur dengan keputusan juri selepas memihak kepada Duy Nhat sekali gus meratapi kekalahan pertamanya dalam kejohanan itu selepas enam pertarungan sejak Februari tahun lalu.

Dalam pertarungan berkenaan yang diadili oleh pengadil, Olivier Coste, Johan atau terkenal dengan nama panggilan 'Jojo' diasak sejak pusingan pertama lagi sebelum dia cuba bangkit di hujung pertarungan.

Duy Nhat yang juga juara WMF Muay Thai sebanyak lima kali turut melakukan sepakan padu pada pusingan kedua untuk membolehkan dia meyakinkan keputusan juri.

Walaupun cuba mengasak dan ada ketika bermain serangan psikologi di pusingan ketiga, Johan yang dibimbing jurulatih dari Thailand, Addy Sipangyak juga dipaksa bertahan dengan asakan saat akhir Duy Nhat.

Ini pertarungan pertama Johan sejak kali terakhir pada 8 Disember tahun lalu yang menyaksikan dia menumbangkan juara WBC dari Mexico, Edgar Tabares menerusi kemenangan 'knockout' (KO) dalam tempoh 36 saat di Bangkok.

Kekalahan berkenaan bermakna Johan yang mewakili Rentap Muay Thai Gym terlepas peluang meraih bonus prestasi sebanyak AS$50,000 (RM235,332.68).

Pada Oktober tahun lalu, Johan mencipta sejarah apabila menjadi atlet tempur termuda memperoleh kontrak bernilai AS$100,000 (RM463,300) dengan ONE Championship.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2024 @ 10:02 AM