JOHAN mempunyai rekod cemerlang 5-0 dengan empat daripadanya menerusi kiraan KO sepanjang saingan musim lalu. FOTO Ihsan ONE Championship
JOHAN mempunyai rekod cemerlang 5-0 dengan empat daripadanya menerusi kiraan KO sepanjang saingan musim lalu. FOTO Ihsan ONE Championship
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Jaguh muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar menegaskan dia bukanlah mata duitan yang menjadikan wang sebagai keutamaannya apabila bertarung dengan juara WMF Muay Thai lima kali, Nguyen Tran Duy Nhat dalam pertarungan ONE 167 di ONE Championship, Sabtu ini.

Sebaliknya, Johan atau lebih mesra di sapa Jojo berkata, keutamaannya adalah untuk mengharumkan nama negara serta menghadiahkan kemenangan kepada individu yang sentiasa memberi sokongan kepadanya.

"Ramai kali ini akan datang ke Bangkok untuk menyaksikan pertarungan ini. Mereka meletakkan kepercayaan kepada saya.

"Jadi, saya mahu membuat yang terbaik untuk mereka dan hadiahkan kemenangan untuk mereka.

"Saya tidak menjadikan wang sebagai motivasi utama sebaliknya saya memang suka bertarung dan mahu buat Malaysia bangga dengan saya. Kalau dapat ganjaran, saya anggap itu sebagai bonus," katanya ketika sesi bersama media secara atas talian, hari ini.

Pertarungan antara Johan dan lawannya dari Vietnam itu akan menawarkan bonus prestasi sebanyak AS$50,000 (RM235,300) kepada pemenang sekiranya melepasi syarat ditetapkan.

Mengulas pertemuan dengan Duy Nhat, Johan mengakui faktor pengalaman lebih memihak kepada lawannya itu, namun dia juga mempunyai kelebihan tersendiri.

"Dia tidak senang dan dia tidak susah kerana ada bahagian kena jaga dan ada bahagian boleh 'makanlah'.

"Duy Nhat ini adalah seorang yang berpengalaman dan sudah dalam dalam bidang ini, usianya pun sudah 35 tahun. Dia lawan yang pantas dan berkemahiran tinggi.

"Namun, saya juga ada kelebihan iaitu usia saya yang muda, bertenaga dan lebih bersemangat tinggi," katanya.

Untuk rekod, kali terakhir Johan beraksi adalah ketika menewaskan juara WBC dari Mexico, Edgar Tabares menerusi kemenangan 'knockout' (KO) dalam tempoh 36 saat di Bangkok pada 8 Disember tahun lalu.

Johan mempunyai rekod cemerlang 5-0 dengan empat daripadanya menerusi kiraan KO sepanjang saingan musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2024 @ 6:23 PM