HAZREEN (kiri) menyifatkan edisi 2023 memperlihatkan beberapa wajah baharu dalam senarai akhir. FOTO Ihsan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia
HAZREEN (kiri) menyifatkan edisi 2023 memperlihatkan beberapa wajah baharu dalam senarai akhir. FOTO Ihsan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemenang pingat emas Sukan Asia 2022 Hangzhou, China, S Sivasangari antara enam atlet disenarai pendek bagi merebut Anugerah Atlet Terbaik di Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 100PLUS 2023.

SAM menerusi kenyataan memaklumkan antara nama lain yang akan merebut anugerah itu adalah bintang skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow, atlet wushu, Wong Weng Soon, juara tenpin boling dunia, Natasha Roslan dan gandingan ratu boling padang, Nur Ain Nabilah Tarmizi serta Aleena Ahmad Nawawi.

"Sementara itu, dua atlet para negara yang sering kali menghiasi podium arena masing-masing Bonnie Bunyau Gustin dari sukan powerlifting dan Cheah Liek Hou terus mendominasi pencalonan bagi Anugerah Atlet Para Terbaik 2023.

"Pencapaian atlet para, Noor Askuzaimey Mast Salim di Hong Kong apabila meraih emas di Kejohanan Wilayah Asia-Oceania Boccia Dunia memastikan namanya turut disenarai pendek bagi pencalonan anugerah Atlet Para Terbaik 2023," menurut SAM.

Pengerusi Anugerah Sam 100PLUS 2023, Hazreen Mubarak menyifatkan edisi 2023 memperlihatkan beberapa wajah baharu dalam senarai akhir membuktikan Malaysia sentiasa memiliki permata sedang digilap.

"SAM mewakili pengamal media sukan tanah air berharap pengiktirafan dan penghargaan menerusi dua kategori di Anugerah SAM-100PLUS yang dilangsungkan menyuntik semangat atlet muda negara untuk berjuang dan membuktikan kemampuan mereka cemerlang di pentas dunia atas slogan Demi Malaysia," katanya.

Anugerah SAM 100PLUS 2023 dijadual berlangsung pada 6 Jun di Hotel Seri Pacific di sini turut meraikan wartawan sukan menerusi anugerah yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM50,000.

Anugerah dibahagi kepada enam kategori iaitu Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.

Pemenang terbaik keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Siebel dengan hadiah wang tunai RM7,000 berserta trofi.

Majlis anugerah ini dijangka dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2024 @ 10:18 PM