NORISMADI (tengah)  pada sidang media Anugerah SAM di Sunway Hotel.  FOTO Ahmad Ukasyah Md Idris
NORISMADI (tengah) pada sidang media Anugerah SAM di Sunway Hotel. FOTO Ahmad Ukasyah Md Idris
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemenang pingat emas beregu lelaki di Kejuaraan Dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik antara calon pilihan untuk merebut gelaran Atlet Terbaik Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 100 Plus 2022.

Aaron-Wooi Yik yang kini menghuni ranking keempat dunia dalam senarai Persekutuan Badminton Dunia (BWF) akan ditentang pemain snuker, Lim Kok Leong, jaguh bina badan, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah.

Turut berada dalam senarai calon atlet terbaik adalah badang negara, Muhammad Aniq Kasdan manakala atlet gimrama yang meraih dua pingat emas di temasya Sukan Komanwel, Ng Joe En menjadi satu-satunya atlet wanita yang berjaya menempatkan diri dalam kelompok atlet terbaik bagi tahun 2022.

Sementara itu Presiden SAM, Norismadi Abdul Manap berkata, barisan kepimpinan sentiasa mencari pendekatan berbeza untuk memeriahkan majlis selain mengiktiraf pengamal media sukan di Malaysia.

Justeru buat julung kalinya Anugerah Pengulas Sukan Popular akan diperkenalkan yang mana pemenang akan dipilih menerusi undian orang ramai di laman facebook SAM dan 100Plus.

"Untuk edisi kali ini kami memperkenalkan anugerah baru iaitu pengulas sukan popular dengan enam calon dikenal pasti. SAM juga kali ini akan memperkenalkan semula Anugerah Atlet Remaja Terbaik selepas dua tahun kita tak menganjurkan kerana pandemik Covid-19," katanya.

Anugerah SAM kali ini dijadualkan berlangsung pada 29 Ogos ini di hotel terkemuka di ibu kota dijangka akan dirasmikan Menteri Belia dan Sukan (KBS) Hannah Yeoh akan turut menobatkan Atlet Para Terbaik.

Calon atlet para adalah Bonnie Bunyau Gustin (powelifting), Cheah Liek Hou (badminton), Brenda Anellia Larry (renang), Nani Shahiera Zawawi (lompat jauh) dan Carmen Lim (renang).

Selain mengiktiraf atlet cemerlang, Anugerah SAM turut meraikan wartawan sukan yang berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM50,000.

Anugerah dibahagi kepada enam kategori, Laporan Berita Terbaik (media cetak), Laporan Berita Terbaik (media elektronik), Ulasan Berita Terbaik (media cetak), Ulasan Berita Terbaik (media elektronik), Laporan Khas Terbaik (terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 6:14 PM