SYARUL Azman (kiri) dan Aaron-Wooi Yik dijangka bersaing sengit merebut gelaran Atlet Terbaik di Majlis Anugerah SAM 2022 esok. FOTO AFP
SYARUL Azman (kiri) dan Aaron-Wooi Yik dijangka bersaing sengit merebut gelaran Atlet Terbaik di Majlis Anugerah SAM 2022 esok. FOTO AFP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Dua jagoan sukan tanah air iaitu atlet bina badan, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah dan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dijangka bersaing sengit bagi merebut gelaran Atlet Terbaik pada Majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2022, malam esok.

Anugerah SAM yang bakal berlangsung di Hotel Resort Sunway menyaksikan kedua-duanya memiliki peluang seimbang bagi memenangi anugerah Atlet Terbaik itu.

Jaguh bina badan dan beregu lelaki utama negara yang juga Olahragawan Kebangsaan 2022 itu antara lima calon yang disenarai pendek dalam merebut anugerah berkenaan, berdasarkan undian yang sudah dijalankan dari 22 hingga 25 Ogos lalu.

Syarul Azman atau lebih dikenali Mike Mahen, 50, menjadi tumpuan apabila meraih gelaran juara dunia buat kali kelima pada Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia di Phuket Thailand pada Disember 2022 dalam kategori 'athletic physique' atas 167 sentimeter.

Kali pertama, beliau meraih gelaran dunia pada tahun 2016 malah berjaya mempertahankannya pada 2017, 2018 dan 2019.

Tiada kejohanan dianjurkan pada 2020, susulan pandemik Covid-19. Atlet kelahiran Kuala Lumpur ini bagaimanapun terlepas gelaran juara pada edisi 2021.

Untuk rekod, kali terakhir atlet dari sukan bina badan menjadi penerima Anugerah Atlet Terbaik SAM-100PLUS pada 2013 menerusi Sazali Samad.

Beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula melakar sejarah tersendiri apabila menamatkan penantian gelaran sulung Malaysia di pentas Kejohanan Badminton Dunia pada edisi ke-27 di Tokyo dengan penuh bergaya selepas menewaskan lawan yang pernah mereka tewaskan ketika penentuan pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14.

Perebutan Anugerah Atlet Terbaik SAM-100PLUS 2022 kali ini sememangnya menyaksikan saingan sengit dalam kalangan juara dunia, termasuklah jaguh snuker Lim Kok Leong yang muncul juara dunia pada Kejohanan Snuker Amatur Dunia.

Melengkapkan senarai calon merebut gelaran Atlet Terbaik Anugerah SAM-100PLUS 2022 adalah atlet angkat berat, Muhammad Aniq Kasdan dan pemenang dua pingat emas di Sukan Komanwel Birmingham iaitu atlet gimrama Ng Joe Ee yang juga Olahragawati Kebangsaan 2022.

Bagi anugerah Atlet Para Terbaik 2022 pula menyaksikan saingan sengit dua jaguh dunia, Cheah Liek Hou (badminton para) dan Bonnie Bunyau Gustin.

Rekod tanpa kalah yang dipegang Liek Hou selaku juara badminton para dunia tujuh kali musim lalu meletakkan beliau sebagai pilihan untuk dinobatkan atlet para terbaik 2022.

Bonnie Bunyau, 24, pula tidak kurang hebatnya apabila menepati ramalan meraih pingat emas pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Calon lain yang turut bersaing ialah Nani Shahiera Zawawi (olahraga) serta dua atlet renang Brenda Anellia Larry dan Carmen Lim.

Kedua-dua pemenang Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik 2022 masing-masing akan menerima hadiah wang tunai RM10,000 berserta trofi.

Selain memberi pengiktirafan kepada atlet yang mencapai kejayaan cemerlang, warga media sukan juga berpeluang memenangi hadiah melalui enam kategori anugerah kewartawanan yang dipertandingkan.

Antara kategori itu adalah Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.

Satu anugerah baharu turut diperkenalkan pada tahun ini iaitu Anugerah Pengulas Sukan Popular yang pemilihannya dijalankan berdasarkan undian terbanyak dilakukan secara dalam talian pada 22 hingga 27 Ogos lalu.

Pemenang keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai pemenang trofi Anugerah Siebel dan hadiah wang tunai RM7,000.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 9:51 PM