NORISMADI berkata hampir 200 penyertaan diterima bagi 17 anugerah kewartawanan membabitkan lapan kategori masing-masing bagi tahun 2020 dan 2021. FOTO Ihsan Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia
NORISMADI berkata hampir 200 penyertaan diterima bagi 17 anugerah kewartawanan membabitkan lapan kategori masing-masing bagi tahun 2020 dan 2021. FOTO Ihsan Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia
BERNAMA

Kuala Lumpur: Dua kategori baharu pada Anugerah 100Plus Perpaduan SAM 2020/2021 mendapat sambutan menggalakkan dengan hampir 100 penyertaan diterima daripada pengamal media sukan tempatan.

Presiden Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM), Norismadi Abd Manap, berkata dua kategori berkenaan iaitu anugerah kewartawanan sukan perpaduan dan foto perpaduan bertujuan mengiktiraf penggiat media sukan tanah air yang turut memainkan peranan mewujudkan perpaduan dalam kalangan Keluarga Malaysia.

"Melalui kerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara, kita memberi peluang kepada ahli-ahli SAM untuk meluaskan karya dan menceburi sisi lain dalam penulisan sukan.

"Bagi kategori fotografi perpaduan pula, jurufoto boleh mempamerkan kekreatifan mereka merakam saat bermakna berkaitan perpaduan dalam sukan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Secara keseluruhan, hampir 200 penyertaan diterima bagi 17 anugerah kewartawanan membabitkan lapan kategori masing-masing bagi tahun 2020 dan 2021, serta satu penghargaan tertinggi iaitu Anugerah Siebel, yang menawarkan hadiah wang tunai RM7,000.

Lapan kategori dipertandingkan adalah Laporan Berita Terbaik (media cetak), Laporan Berita Terbaik (media elektronik), Ulasan Berita Terbaik (media cetak), Ulasan Berita Terbaik (media elektronik), Laporan Khas Terbaik (terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik serta dua kategori Anugerah Perpaduan.

Selain itu, dua lagi kategori iaitu Anugerah Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik 2020/2021 dijangka menjadi tumpuan bagi melihat siapakah atlet negara yang bakal dinobatkan sebagai pemenang.

Majlis anugerah yang dijadual berlangsung di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selasa ini, menggabungkan dua edisi iaitu tahun 2020 dan 2021 dengan menawarkan keseluruhan hadiah wang tunai paling tinggi dalam sejarah penganjurannya bermula pada 1985 iaitu berjumlah RM109,000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2022 @ 8:45 PM