NORZA (dua dari kanan) bertukar dokumen dengan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim (dua dari kiri), hari ini. FOTO BERNAMA
NORZA (dua dari kanan) bertukar dokumen dengan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim (dua dari kiri), hari ini. FOTO BERNAMA
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria meminta seluruh rakyat Malaysia untuk tidak meragui kemampuan atlet negara menyumbang pingat emas pertama di Sukan Olimpik Paris 2024, Julai ini.

Malah keyakinan disuarakan atlet berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Lee Zii Jia yang menyatakan hasrat untuk meraih emas itu dilihat sesuatu yang positif.

Ditambah dengan iringan doa daripada seluruh rakyat Malaysia, Norza berkata, emas bukan satu yang mustahil untuk dicapai.

"Jika dulu pihak pengurusan yang nak itu dan ini, tapi bila atlet kita sendiri keluarkan sasaran itu, kita nampak mereka ada keinginan untuk berdaya saing.

"Ia satu semangat sihat buat mereka, jadi jangan ada keraguan untuk itu.

"Walaupun kontinjen kita mungkin tak ramai, tapi kita ada atlet dan ramuan yang betul untuk kontinjen mencapai objektif mendapat emas pertama seperti diidamkan," kata Norza kepada media selepas majlis menandatangani perjanjian antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersama Institut Jantung Negara (IJN), hari ini.

Mengulas mengenai persiapan atlet, Norza yang berada dalam jawatankuasa tertinggi Road To Gold (RTG) berpuas hati dengan persediaan semua 18 atlet yang sudah melayakkan diri ke Paris 2024 ketika temasya berbaki kurang dari tiga bulan saja lagi.

Selain Azizulhasni dan Zii Jia, turut berada dalam senarai ke Paris 2024 adalah beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik bersama-sama penerjun Bertrand Rhodict Lises; Nur Shazrin Latif dan Khairulnizam Afendy (pelayaran); Johnathan Wong (menembak); Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah); Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat); Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (berbasikal trek) dan pelumba lebuh raya wanita, Nur Aisyah Zubir.

Kem badminton turut disertai Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita); Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) dan Goh Jin Wei (perseorangan wanita).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 5:55 PM