DATUK Mohd Sumali Reduan. FOTO GENES GULITAH
DATUK Mohd Sumali Reduan. FOTO GENES GULITAH
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Presiden Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan diberi penghormatan menjadi pengerusi pasukan petugas (task force) yang akan mengendalikan sistem ranking sepak takraw dunia.

Sumali pada sidang media majlis pelancaran Piala Dunia yang dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, beliau berkata akan menubuhkan jawatankuasa bagi membincang sistem ranking berkenaan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, beliau mahu menumpukan penganjuran Piala Dunia Sepak Takraw yang akan berlangsung 18 hingga 26 Mei ini di Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum melantik ahli jawatankuasa yang bernaung di bawah pasukan petugas khas itu.

"Terima kasih kepada Setiausaha Agung Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf), Datuk Abdul Halim Kader kerana memberi kepercayaan kepada PSM mengendalikan sistem perkiraan ranking berkenaan.

"Tapi kita lepaskan Piala Dunia yang sempurna dahulu kemudian baru kita memikirkan kaedah sistem ranking.

"Penganjuran Piala Dunia itu akan menjadi penanda aras kepada sistem berkenaan.

"Meskipun sistem ranking itu akan dibincangkan selepas Piala Dunia, setiap pasukan di bawah kategori elit akan diberi mata ranking berdasarkan kedudukan di Piala Dunia berkenaan," katanya.

Pada majlis berkenaan, Sumali buat kali pertama memperkenalkan piala pusingan yang diilhamkan oleh beliau sendiri bakal menjadi rebutan di kejohanan dunia.

Trofi itu akan disimpan oleh pemenang selama setahun dan perlu dikembalikan kepada PSM, di Kuala Lumpur.

Trofi seberat 13.5 kilogram (kg) itu bakal menjadi sejarah dunia sepaktakraw khususnya Malaysia dan juga Istaf.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 8:27 PM