ZII Jia dijangka menentang Kean Yew dalam aksi peringkat kumpulan.
ZII Jia dijangka menentang Kean Yew dalam aksi peringkat kumpulan.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Semua bergantung kepada kemampuan Lee Zii Jia, jelas ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan apabila ditanya sama ada Malaysia mampu berdepan Singapura dan Jepun untuk memburu slot ke separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) minggu depan selepas diundi bersama dua negara berkenaan dalam Kumpulan B.

Menurut pengendali kelahiran Indonesia itu, Zii Jia akan menjadi penyumbang mata penting terutama ketika berdepan Singapura dan peluang sekarang ini dilihat 50-50. "Kalau Zii Jia boleh menang ia akan lebih senang. Manakala Jepun pula menyenaraikan pemain baharu, mungkin kita boleh harap Ng Tze Yong dan Leong Jun Hao walaupun keadaan mereka masih belum 100 peratus," katanya.

Zii Jia dijangka berdepan juara dunia, Loh Kean Yew apabila kedua-dua pemain dijangka dibariskan sebagai perseorangan pertama dalam saingan peringkat kumpulan. "Bagi saya undian ini cukup sengit, sebab pemain kita dibarisi kombinasi antara pemain senior dan remaja. Sasaran kita tetap sama cuba mara ke separuh akhir, jika mara nanti kita akan tengok dari situ," kata Hendrawan.

Pada masa sama beliau juga susah untuk memberi gambaran bagaimana keadaan Zii Jia setakat ini selepas juara Seluruh England 2021 itu sudah meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan bergerak secara profesional.

"Susah dengan keadaan sekarang untuk memberi komen mengenai Zii Jia kerana saya tidak menjaganya lagi. Cuma kita ada pasangan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang juga mampu menyumbang mata.

"Pada masa sama kita harapkan Tze Yong dan Leong (Jun Hao) mampu mengawal tekanan. Lagi pun tahun ini banyak kejohanan besar seperti Sukan Asia dan Komanwel serta harap dapat mematangkan mereka," katanya.

Selain Jepun dan Singapura, turut berada dalam Kumpulan B ialah Kazakhstan dengan dua pasukan teratas akan layak ke separuh akhir sekali gus layak ke Piala Thomas secara automatik.

Sementara itu, skuad wanita negara pula diundi dalam Kumpulan Y bersama India dan Jepun. Pada saingan kali ini, Malaysia menyenaraikan enam pemain perseorangan lelaki diketuai Zii Jia, Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Hao, Lim Chong King and Kok Jing Hong.

Dalam acara beregu, Malaysia akan diperkuatkan dengan kehadiran Aaron-Wooi Yik yang menjadi taruhan utama pasukan negara selain Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Kejohanan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City di Shah Alam itu menyaksikan skuad wanita pula dibarisi lima pemain perseorangan iaitu Eoon Qi Xuan, S Kisona, Tan Zhing Yi, Siti Nurshuhaini Azman dan Myisha Mohd Khairul.

Beregu pula terdiri pasangan nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah akan menjadi sandaran utama menyumbangkan mata selain Teoh Mei Xing-Anna Cheong, Valeree Siow-Low Yeen Yuan dan Go Pei Kee.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 9:29 PM