REAKSI Aaron Chia (kiri) dan Wooi Yik kanan selepas tewas pada aksi separuh akhir, semalam. FOTO ASYRAF HAMZAH
REAKSI Aaron Chia (kiri) dan Wooi Yik kanan selepas tewas pada aksi separuh akhir, semalam. FOTO ASYRAF HAMZAH
Fabian Peter


Hangzhou: Skuad badminton negara disasarkan mampu meraih dua pingat perak dan satu gangsa pada Sukan Asia Hangzhou.

Bagaimanapun, skuad negara menamatkan kempen mereka dengan hanya satu pingat gangsa iaitu menerusi beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang juga bekas juara dunia.

Di sebalik prestasi cemerlang mereka sepanjang minggu di Gimnasium Binjiang, pasangan nombor lima dunia itu mempamer aksi goyah di separuh akhir apabila tewas 17-21, 12-21 di tangan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India.

Ketua jurulatih Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, tidak menyembunyikan atau menafikan fakta bahawa skuad badminton negara gagal mencapai sasaran.

"Sebagai ketua jurulatih untuk kem badminton, kami mensasarkan untuk mara lebih jauh pada temasya ini tetapi dalam acara berpasukan lelaki, kami tersingkir seawal pusingan pertama.

"Untuk penilaian keseluruhan saya, saya boleh katakan bahawa pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia kelihatan lebih yakin sekarang. Walaupun dia tewas ketika menentang HS Prannoy dari India, anda boleh lihat bagaimana dia melawan dengan dirinya sendiri.

"Bagi seorang lagi pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong, saya dapat melihat dia hanya perlu perkukuhkan lagi permainnya dan percaya kepada kemampuan diri sendiri. Saya sudah berbincang mengenai perkara ini dengan jurulatih, Hendrawan dan juga sudah bercakap dengan (Datuk) Lee Chong Wei.

"Bagi beregu wanita, terdapat sedikit kebimbangan mengenai Pearly Tan-M Thinaah. Kami masih tidak pasti sama ada mereka akan ke Finland (Terbuka Clash of Clans) atau kejohanan Eropah lain (Terbuka Denmark dan Perancis) kerana situasi mereka (Pearly alami kecederaan belakang).

"Bagi saya, persembahan mereka di sini sudah sangat baik. Tetapi pada perlawanan menentang Korea (Baek Ha Na-Lee So Hee), kami melihat mereka tewas dari aspek fizikal.

"Gandingan berpengalaman Korea gemar menangguhkan usaha mendapatkan mata dan mencabar kekuatan fizikal Pearly-Thinaah. Jika dibandingkan mereka dengan beregu utama dari China, Korea dan Jepun, Pearly-Thinaah mampu menandingi mereka tetapi tidak dapat menandingi ketahanan fizikal.

"Bagi beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, mereka menunjukkan peningkatan tetapi ketika menentang pemain nombor satu dunia (Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong), mereka masih mempunyai banyak kelemahan," katanya.

Bekas juara Olimpik dan dunia itu menyatakan masa agak suntuk untuk mereka meneliti semula program latihan kerana Sukan Olimpik Paris 2024 semakin hampir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 4:17 PM