Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Majlis Jamuan Teh Petang bersama Pasukan Badminton All England Malaysia di Istana Negara hari ini. FOTO Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Majlis Jamuan Teh Petang bersama Pasukan Badminton All England Malaysia di Istana Negara hari ini. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Meskipun Sukan Olimpik 2024 di Paris menjadi sasaran utama untuk meraih pingat, barisan pemain badminton negara diyakini mampu menyerlah di pentas Olimpik Tokyo 2020.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ketika berucap pada majlis Hi-Tea dengan pasukan badminton negara di Seluruh England bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara berkata, beberapa kejayaan sebelum ini membuktikan pemain negara mampu membuktikan sesuatu di Tokyo.

"Jaguh-jaguh badminton negara yang ada di depan kita pada hari ini adalah rata-rata muda dalam lingkungan 22 hingga 26 tahun sahaja.

"Mereka dalam perancangan program BAM (Persatuan Badminton Malaysia) untuk mencapai kemuncak prestasi menjelang Sukan Olimpik 2024 akan datang di Paris dan juga sasaran untuk kejohanan-kejohanan serantau Asia, dunia dan yang lain-lain.

"Bagaimanapun, mereka mula menunjukkan kemampuan mereka, bahkan keupayaan mereka telah pun dilihat sebagai mempunyai potensi untuk mencabar pesaing dunia yang lain bagi menyumbang kepada sinaran pingat di Olimpik Tokyo ini.

"Patik percaya pihak BAM tidak berhasrat untuk menetapkan sasaran KPI dan memberikan tekanan tambahan kepada jaguh-jaguh badminton negara kita," katanya.

Beliau juga percaya pemain-pemain seperti perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia; beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan juga pemain lain masih dalam

perjuangan melayakkan diri ke Olimpik, mahupun dalam kejohanan peringkat dunia yang lain.

"Mereka akan terus bermain bersungguh-sungguh dengan semangat juang yang tinggi, demi negara, demi Malaysia," katanya.

Zii Jia muncul juara perseorangan lelaki di Seluruh England bulan lalu manakala beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah memenangi Terbuka Switzerland.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 7:15 PM