NURUL Izzah (tengah) setakat ini sudah meraih tiga pingat di ACC India 2024. FOTO Ihsan skuad berbasikal trek negara
NURUL Izzah (tengah) setakat ini sudah meraih tiga pingat di ACC India 2024. FOTO Ihsan skuad berbasikal trek negara
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pengarah Teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley melihat Malaysia mempunyai peluang cukup cerah untuk mencipta kejuaraan dalam acara keirin wanita pada masa akan datang terutama di pentas Olimpik Los Angeles (LA 28).

Ini susulan kejayaan pelumba trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri muncul juara keirin wanita di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi, India semalam dan Anis Amira Rosidi pula meraih gangsa dalam aksi final itu.

Namun begitu, masih terdapat beberapa aspek yang harus dilakukan untuk Nurul Izzah terus berada di puncak prestasinya.

"Saya fikir kita boleh menang keirin kerana kedua-dua pelumba wanita dalam keadaan yang baik. Ini adalah permulaan yang besar dalam proses mencipta kejayaan dan Nurul Izzah masih banyak yang harus dibaiki.

" Untuk Olimpik (Los Angeles) seterusnya 2028, kita mempunyai nombor (pelumba keirin) yang cukup baik untuk pelumba wanita negara. Anis turut berjaya melakukan tugas dengan baik untuk memenangi gangsa dan saya bangga dengan mereka berdua," katanya.

Untuk rekod, pelumba kelahiran Kedah itu berjaya menambah pungutan pingat peribadi di ACC selepas meraih gangsa dalam acara pecut Jumaat lalu dan meraih perak dalam acara pecut berpasukan wanita pada 21 Februari lalu.

Selain itu, Beasley percaya pelumba berusia 21 tahun itu mampu mencipta sekali lagi kejayaan dalam acara 500 meter ujian masa apabila turun dalam acara kegemarannya hari ini.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan pelumba trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri terus mempamerkan kayuhan bertenaga apabila menjelmakan kilauan pingat emas dalam acara keirin wanita di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi semalam.

Dalam aksi final yang berlangsung di Velodrom Indira Gandhi sebentar tadi, 'The Pocket Rocketwoman' berjaya menebus kekecewaan apabila menidakkan kemenangan pelumba dari China, Tong Mengqi.

Malah, jurulatih yang memainkan peranan cukup penting sehingga membawa Datuk Azizulhasni Awang memenangi kejuaraan dunia itu percaya Nurul Izzah sebagai 'The Pocket Rocketwoman' yang baharu buat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 4:15 PM