IGA juara buat kali ketiga di Terbuka Rom. -FOTO AFP
IGA juara buat kali ketiga di Terbuka Rom. -FOTO AFP
iga

Rom: Iga Swiatek enggan mengambil mudah aksi di Terbuka Perancis walaupun meraih gelaran ketiga di Rom apabila menewaskan Aryna Sabalenka 6-2, 6-3 dalam final semalam.

Iga, pemain nombor satu dunia, akan menjadi pilihan utama untuk mempertahankan mahkota Roland Garrosnya selepas memenangi perlawanan dengan selesa di atas tanah liat menentang Aryna di ranking kedua.

Di hadapan penonton yang penuh sesak, Iga menjadi wanita pertama sejak Serena Williams pada 2013 menang di permukaan tanah liat di Madrid dan Rom pada musim yang sama.

Dia boleh menyertai Serena mencipta hatrik ibu kota Eropah itu jika dia memenangi kejuaraan Terbuka Perancis keempatnya dan ketiga berturut-turut dengan saingan di Paris akan bermula pada 26 Mei.

"Saya yakin. Saya rasa saya bermain tenis yang hebat tetapi itu tidak mengubah hakikat bahawa saya hanya mahu kekal merendah diri," kata Iga.

"Grand Slam adalah berbeza. Terdapat tekanan yang berbeza di gelanggang dan di luar gelanggang. Sudah tentu saya suka datang ke Paris dan berada di sana. Ia adalah tempat yang bagus untuk saya dan saya sangat menikmati masa saya di sana.

"Tetapi ini adalah tujuh perlawanan sukar yang anda perlukan untuk menang jadi saya tidak ambil mudah."

Iga memenangi perlawanan ke-12 berturut-turut di atas tanah liat dengan menewaskan pemain Belarusia, Aryna seperti yang dia lakukan pada final di Madrid baru-baru ini.

Pemain Poland itu kini melebarkan rekod kemenangannya ke atas Aryna 8-3 dan tidak kehilangan satu set pun sepanjang perjalanannya merangkul kejuaraan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 10:37 AM