IGA catat hatrik menjuarai Terbuka Perancis selepas menewaskan Jasmine di pentas akhir, -FOTO Reuters
IGA catat hatrik menjuarai Terbuka Perancis selepas menewaskan Jasmine di pentas akhir, -FOTO Reuters
AFP

Paris: Bintang Poland, Iga Swiatek mempertahankan gelaran juara Terbuka Perancis apabila mudah menjinakkan Jasmine Paolini 6-2, 6-1 pada perlawanan akhir untuk memenangi kejuaraan Roland Garros buat kali ketiga berturut-turut.

Pemain nombor satu dunia, Iga menganggap ia kemenangan yang cukup beremosi dan berbangga dapat menangani tekanan sebagai pilihan utama untuk menang buat kali ketiga berturut-turut di Roland Garros.

Iga mendominasi perlawanan di gelanggang tanah liat itu ke atas pemain di ranking ke-12 dunia dari Itali, Jasmine yang beraksi buat kali pertama di pentas akhir Grand Slam, hanya memerlukan 68 minit untuk merangkul mahkota keempat dalam tempoh lima tahun di Paris.

Iga kini memenangi kesemua lima perlawanan akhir Grand Slam yang disertainya yang mana dia turut menjuarai Terbuka AS pada 2022.

Dia menjadi pemain keempat dalam era Terbuka untuk menjulang Coupe Suzanne Lenglen empat kali - selepas Justine Henin, Chris Evert dan Steffi Graf.

"Sungguh mengagumkan berada di sini. Saya suka tempat ini. Saya menunggu setiap tahun untuk kembali," kata Iga yang mendapat titik kebangkitan selepas meraih kemenangan berharga menentang Naomi Osaka pada pusingan kedua.

"Saya hampir terkeluar dari kejohanan ini," katanya.

"Saya juga perlu percaya bahawa segalanya mungkin, ini adalah kejohanan yang sangat emosional."

Iga menjadi pemain wanita ketiga yang memenangi kejohanan itu untuk tiga tahun berturut-turut.

Justine melakukannya pada 2005-07, adalah pemain terakhir yang berjaya berbuat demikian.

Monica Seles juga mencapai kejayaan itu ketika masih remaja pada permulaan 1990an.

Pada usia 23 tahun, empat gelaran Roland Garrosnya adalah jumlah yang sama dengan Rafael Nadal yang memegang rekod juara lelaki 14 kali, pada usia yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2024 @ 8:03 AM