ANTARA aksi Iga hari ini. FOTO AFP
ANTARA aksi Iga hari ini. FOTO AFP
AFP

Paris: Juara bertahan, Iga Swiatek terselamat daripada mata penamat ketika menentang Naomi Osaka, awal pagi tadi, untuk mara ke pusingan ketiga Terbuka Perancis.

Iga mengatasi pemenang Grand Slam empat kali, Osaka 7-6 (7/1), 1-6, 7-5 dalam pertembungan pusingan kedua yang menakjubkan.

Kemenangan itu bermakna, pemain nombor satu dunia itu akan meneruskan usahanya memburu kejuaraan ketiga berturut-turut di Roland Garros.

Justine Henin adalah pemain terakhir yang pernah meraih pencapaian itu pada 2005 sehingga 2007.

Dia sedang berusaha menjadi pemain wanita keempat dalam era Terbuka untuk memenangi empat gelaran Roland Garros dan hanya yang kedua selepas Serena Williams untuk melengkapkan gelaran treble di gelanggang tanah liat Madrid, Rom dan Terbuka Perancis pada musim yang sama.

"Perlawanan ini benar-benar sengit, jauh lebih sengit daripada yang saya jangkakan," kata Iga yang pada satu ketika ketinggalan 3-5 di set penentuan.

"Naomi bermain tenis yang menakjubkan dan mungkin dia akan menjadi pakar gelanggang tanah liat tidak lama lagi," katanya lagi.

Naomi yang hanya membuat penampilan kali kedua di Grand Slam sejak melahirkan anak perempuannya Julai lalu, hampir mencatatkan kemenangan namun dia akur dengan kekalahan itu.

"Saya menangis apabila keluar dari gelanggang, tetapi saya mula sedar yang saya menonton Iga memenangi kejohanan ini tahun lalu ketika saya sedang hamil. Ia adalah impian saya dapat bermain dengannya," kata Osaka yang kini menduduki ranking ke-134 dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 9:59 AM