PARET-Peintre melintasi garisan penamat selaku pemenang. FOTO AFP
PARET-Peintre melintasi garisan penamat selaku pemenang. FOTO AFP
AFP

Bocca della Selva: Valentin Paret-Peintre memenangi peringkat ke-10 Giro d'Italia manakala Tadej Pogacar mengekalkan kedudukan keseluruhannya.

Pelumba Decathlon-AG2R La Mondiale, Paret-Peintre, memperoleh kemenangan profesional pertamanya di Italian Grand Tour, menamatkan peringkat sejauh 142 kilometer (km) dari Pompei di depan rakan senegara, Romain Bardet dan pelumba Visma, Jan Tratnik.

Pelumba berusia 23 tahun itu mengikut jejak abangnya, Aurelien, yang memenangi peringkat perlumbaan di Giro tahun lalu dan menduduki tempat kelima awal pagi tadi, satu minit dan 25 saat di belakang adiknya.

Mereka berpelukan selepas tamat peringkat perlumbaan itu sebelum Paret-Peintre menemui media.

"Saya tidak dapat menggambarkan apa yang saya rasa sekarang, ia sangat menakjubkan. Saya beraksi untuk mendapatkan keputusan yang baik di peringkat perlumbaan," katanya.

Sementara itu Bardet, yang berusia 10 tahun lebih tua berbanding Paret-Peintre, hanya kurang lima minit di belakang pendahulu jersi merah jambu, Pogacar, yang dilihat lebih tenang dan mengekalkan pendahuluan keseluruhan mengatasi pesaing utama, Dani Martinez serta Geraint Thomas.

"Saya menyaksikannya (Bardet) ketika saya masih muda iaitu ketika dia menamatkan perlumbaan di kedudukan podium di Tour de France," tambah Paret-Peintre.

"Saya menyimpan impian untuk menemuinya suatu hari nanti, tetapi hari ini saya bertarung dengannya dan saya mengalahkannya," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2024 @ 10:56 AM