POGACAR semakin hampir untuk mencipta sejarah peribadi. FOTO Reuters
POGACAR semakin hampir untuk mencipta sejarah peribadi. FOTO Reuters
AFP

Rom: Tadej Pogacar memenangi Giro d'Italia dengan melintasi garisan penamat di Rom dalam cahaya matahari yang terpancar dan dengan margin kemenangan terbesar selepas hampir enam dekad.

Pelumba UAE Emirates berusia 25 tahun itu memenangi enam daripada 21 peringkat dalam jelajah sejauh 3,400 kilometer (km) yang bermula di Turin, menamatkan 9 minit 56 saat (s) di hadapan pelumba Colombia, Daniel Martinez dari Bora, manakala Geraint Thomas dari Ineos ketinggalan 10:24s di tempat ketiga.

Perlumbaan terakhir pada peringkat ke-21 yang berlangsung di sekitar Rom dimenangi oleh pelumba pecut Belgium, Tim Merlier, iaitu kemenangan ketiganya bagi Giro tahun ini.

Dilabel sebagai bakal juara, Pogacar terbukti tiada tandingan mendahului seawal peringkat kedua dan mengamuk merentasi puncak, dataran dan panorama yang indah untuk merangkul kejuaraan dengan margin terbesar berbanding dalam mana-mana jelajah utama berbasikal sejak Vittorio Adorni melakukannya pada Giro 1965 iaitu 11:26s.

"Saya berasa kuat dan santai selama tiga minggu ini," kata Pogacar, yang merancang untuk meraikan bersama rakan sepasukannya di Rom kemudian mencari pantai berdekatan untuk berehat selama beberapa hari.

"Ia satu pengalaman yang indah. Saya menyukainya," katanya.

Pelumba Slovenia itu mengenakan jersi pendahulu keseluruhan ikonik, merah jambu, menunggang basikal merah jambu dan juga tiba dengan bas merah jambu ketika laluan perlumbaan ke selatan.

Dia berharap untuk menjadi pelumba pertama memenangi kedua-dua Giro d'Italia dan Tour de France (TdF) sejak Marco Pantani melalukannya pada 1998

Bagaimanapun, Pogacar lebih menyerupai pelumba legenda, Eddy Merckx, yang juga dikenali kerana mahu memenangi sebanyak mungkin peringkat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 12:54 PM