POGACAR bakal sertai Giro d'Italia. FOTO REUTERS
POGACAR bakal sertai Giro d'Italia. FOTO REUTERS
AFP

Rom: Tadej Pogacar bakal berlumba di Giro d'Italia buat kali pertama dalam kariernya pada 2024, demikian umum juara berganda Tour de France itu semalam.

Dalam hantaran video di media sosial oleh penganjur, Pogacar tiba di lapangan terbang Linate Milan dan berkata 'jom' selepas menaiki sebuah teksi.

Pelumba UAE berusia 25 tahun itu bakal melengkapkan koleksi Grand Tours peribadinya selepas menyertai Vuelta a Espana 2019 yang menyaksikannya mendapat tempat ketiga.

Pelumba Slovenia itu adalah seorang pelumba popular di Itali di mana dia sudah meraih beberapa siri kemenangan besar.

Dia adalah salah seorang daripada tiga pelumba lelaki yang memenangi Il Lombardia selama tiga tahun berturut-turut, serta memenangi peringkat perlumbaan Strade Bianche tahun lalu dan peringkat perlumbaan Tirreno-Adriatico pada tahun 2021 dan 2022.

Giro d'Italia bakal bermula pada 4 Mei di sekitar Turin, dengan tiga peringkat awal di wilayah Piedmont barat laut yang berdekatan dengan sempadan Perancis dan perlumbaan tiga minggu itu bakal melalui Naples sebelum menuju Adriatik sehingga ke arah utara Alps.

Ia akan berakhir di Rom untuk tahun kedua berturut-turut pada 26 Mei. Rakan senegara Pogacar, Primoz Roglic muncul juara edisi tahun ini di ibu negara Itali itu.

Tour de France bakal bermula di Florence lebih kurang sebulan selepas itu dengan empat peringkat pertama di Itali sebelum berlangsung temasya Sukan Olimpik di Paris pada 26 Julai.

Sejak Marco Pantani pada tahun 1998, tiada seorang pun yang pernah memenangi Tour dan Giro dalam satu musim yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 11:24 AM