PABM menyasarkan Aniq membawa pulang pingat tanpa mengira warna di Paris 2024. FOTO ARKIB NSTP
PABM menyasarkan Aniq membawa pulang pingat tanpa mengira warna di Paris 2024. FOTO ARKIB NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) merancang untuk membawa badang negara, Mohamad Aniq Kasdan berkelana di Ireland seminggu sebelum Sukan Olimpik Paris 2024 sebagai persiapan akhir ke temasya berprestij itu.

Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat berkata, Mohamad Aniq, 21, yang menjadi satu-satunya sandaran negara bagi acara angkat berat ke temasya sukan itu akan berguru dengan bekas atlet angkat berat negara, Mohd Faizal Baharom yang kini memikul tugas sebagai jurulatih sebuah kelab berpangkalan di Dublin, Ireland.

"Kita akan hantar dia menyesuaikan diri di Ireland untuk menjalani latihan bersama jurulatih Malaysia yang ada di sana, mungkin seminggu sebelum Olimpik.

"Sebelum ke Ireland, PABM akan memastikan Aniq bersedia 99 peratus, di sana nanti hanya tambah baik apa yang kurang," katanya kepada Bernama.

Ayub berkata, atlet kelahiran Johor itu yang kini sedang menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN), sebelum itu akan ke Rompin, Pahang untuk menjalani latihan berintensiti tinggi bagi memperbaiki angkatan snatch bersama jurulatihnya, Edmund Yeo Thian Chuan.

Menurutnya, Mohamad Aniq akan diberikan suplemen dan vitamin daripada Institusi Sukan Negara (ISN) dalam usaha meningkatkan tenaga dan kekuatannya sebelum ke Paris 2024.

Sementara itu, Ayub berkata, PABM menyasarkan Mohamad Aniq untuk membawa pulang pingat tanpa mengira warna daripada temasya sukan empat tahun sekali itu.

"Kita sudah letakkan sasaran kepada Aniq untuk membuat angkatan antara 305-310 kilogram (kg) dan sekurang-kurangnya bawa balik pingat tanpa mengira warna.

"Sekiranya Aniq dapat pingat, ia bakal menjadi pencapaian tertinggi bagi sukan angkat berat negara," katanya.

Aniq menepati ramalan apabila mengesahkan tiket secara merit ke Olimpik Paris 2024 selepas berada di kedudukan kelapan ranking kelayakan menerusi angkatan keseluruhan 296kg dalam kategori 61kg.

Sebagai rekod, kali terakhir angkat berat berada dalam kontinjen negara ke temasya terbesar dunia itu ialah di Sukan Olimpik Rio 2016 dalam kategori 69kg menerusi Mohd Hafifi Mansor.

Lapan atlet lain turut menyertai Mohamad Aniq ke Paris 2024 ialah tiga pelumba basikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri serta Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran), Johnathan Wong (menembak), Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah), Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal lebuh raya) dan Bertrand Rhodict Lises (terjun).

Enam daripada mereka iaitu Mohamad Aniq, Bertrand Rhodict, 18, Ariana Nur Dania, 19, Nurul Izzah Izzati, 21, Nur Shazrin dan Nur Aisyah masing-masing berusia 26 tahun adalah atlet pertama kali bertanding di temasya terbesar dunia itu.

Sukan Olimpik Paris 2024 dijadual berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 8:51 PM