YI Wen (kanan) dan Tsukue bergambar bersama trofi selepas muncul juara kategori wanita dan lelaki di Kelayakan Kejohanan Skuasy Dunia Zon Asia, semalam. FOTO BERNAMA
YI Wen (kanan) dan Tsukue bergambar bersama trofi selepas muncul juara kategori wanita dan lelaki di Kelayakan Kejohanan Skuasy Dunia Zon Asia, semalam. FOTO BERNAMA
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Major (B) S Maniam optimis pemain negara mampu mempamerkan prestasi terbaik di Kejohanan Skuasy Dunia di Kaherah, Mesir pada 9 hingga 18 Mei depan.

Beliau menyedari tentangan bakal dilalui wakil negara apabila berhadapan dengan pemain terbaik dunia dan ranking jauh lebih tinggi.

Disebabkan itu, katanya, bagi memastikan semua pemain berada dalam keadaan lebih bersedia sebelum kejohanan berkenaan, SRAM akan mengumpulkan semua pemain seperti Chan Yi Wen, S Sivasangari, serta Aira dan Aifa Azman untuk berlatih bersama-sama.

"Mereka akan kembali ke sini (Malaysia) untuk latihan bersama dan saya akan menyediakan mereka untuk Kejohanan Skuasy Dunia itu.

"Kami akan menonton beberapa video dan sebagainya untuk menambah baik prestasi pemain.

"Bagi Ng Eain Yow, dia tidak akan bersama kami kerana ada tugasan harus diselesaikan sebelum menamatkan pengajiannya di Bristol (United Kingdom).

"Saya harap setiap pemain dapat menampilkan prestasi terbaik dan melangkah lebih jauh terutama Aira yang dilihat berada di prestasi baik selepas cemerlang di Terbuka Skuasy Antarabangsa El Gouna 2024 ketika ini.

"Kejohanan itu akan mengumpulkan 60 pemain terbaik di dunia dan kita menyedari ranking pemain negara selain Sivasangari," katanya.

Selain itu, mengulas pertemuan dua pemain skuasy wanita iaitu Yi Wen dan K Sehveetrraa di final Kelayakan Kejohanan Skuasy Dunia Zon Asia, semalam, Maniam berkata, SRAM amat berbangga dengan prestasi mereka.

"Kami (SRAM) sangat gembira kerana mempunyai dua pemain wanita di pusingan akhir dan ia memberikan memberikan slot automatik ke Kejohanan Skuasy Dunia itu (kategori wanita).

"Bagi saya, Yi Wen pasti gembira selepas dia gagal mendapatkan slot itu tahun lepas dan pengakhiran amat baik untuk dia kali ini.

"Bagi kategori lelaki, anda boleh lihat Addeen (Idrakie Bahtiar) sudah memberikan yang terbaik (di final), tetapi pemain Jepun, Ryunosuke (Tsukue) berada di kedudukan lebih baik untuk muncul juara," kata Maniam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 6:48 PM