SIVASANGARI kini antara tonggak muda negara yang sedang meningkat. FOTO/FAIL
SIVASANGARI kini antara tonggak muda negara yang sedang meningkat. FOTO/FAIL
Ferzalfie Fauzi


PERSATUAN Raket Skuasy Malaysia (SRAM) tidak panik meskipun skuad wanita sekadar mengulangi pencapaian dua tahun lalu dengan menduduki tempat keenam keseluruhan Kejohanan Berpasukan Dunia di Dailan, China yang berakhir semalam.

Pengarah Kejurulatihan SRAM, S Maniam berkata, sebaliknya mereka berpuas hati kerana berjaya memberi ruang kepada tonggak muda seperti S Sivasangari dan Aifa Azman untuk bertanding di pentas besar. 

Menurutnya, sumbangan yang diberikan oleh kedua-dua pemain itu untuk dijadikan tonggak masa depan lebih penting daripada melihat kedudukan negara pada kejohanan berkenaan. 

"Mereka adalah pemain yang perlu kita lihat untuk kejayaan masa depan terutama selepas bersaing di antara empat negara yang mempunyai kekuatan sama seperti Hong Kong, Kanada dan Amerika Syarikat," katanya ketika dihubungi hari ini. 

Maniam mengakui skuad kali ini masih mempertaruhkan Datuk Nicol David namun ia tidak sama seperti beberapa edisi lalu. 

"Nicol yang sekarang ini tidak sama seperti Nicol sebelum ini, kita sudah mengharapkannya sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Dia sentiasa menyumbang untuk negara dan dia masih lagi terus menyumbang. 

"Apa yang penting kita mempunyai bakat muda dan saya berpuas hati dengan persembahan Aifa serta Sivasangari. Malah di belakang mereka kita masih mempunyai tonggak masa depan seperti Rachel Arnold dan Aira Azma. 

"Kita berharap dalam tempoh dua tahun akan datang pemain muda ini bakal memberikan aksi terbaik begitu juga dengan seorang lagi pemain senior Low Wee Wern. 

"Dia (Wee Wern) adalah pemain bertaraf dunia yang sentiasa menunjukkan mampu untuk menang dalam perlawanan penting dan kita juga harus memberikan dia masa untuk mencapai pada tahap terbaik selepas baru pulih dari kecederaan," katanya. 

Ditanya mengenai kekuatan Sivasangari, Maniam menegaskan pemenang pingat perak Sukan Asia Jakarta-Palembang itu berada pada landasan tepat kerana mempunyai ciri-ciri seorang pemain yang sentiasa menyerang serta lebih tersusun di dalam gelanggang.

 "Aifa pula seorang pemain agresif, dia juga harus diberikan masa untuk membuatkan kita berasa bangga satu hari nanti," katanya. 

Sivasangari yang berasal dari Kedah berusia 19 tahun, manakala Aifa pula akan mencecah usia 17 tahun Disember ini. 

Kejohanan berkenaan menyaksikan Mesir berjaya mempertahankan gelaran selepas menumpaskan England 2-0 semalam, manakala Hong Kong dan Perancis berkongsi kedudukan tempat ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 4:28 PM