SKUASY mampu menjadi sandaran pingat di temasya Olimpik Los Angeles 2028. - FOTO Bernama
SKUASY mampu menjadi sandaran pingat di temasya Olimpik Los Angeles 2028. - FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ng Eain Yow dan S Sivasangari, masing-masing juara perseorangan lelaki dan wanita pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 menjadi sandaran Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) untuk mencabar kedudukan podium pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S Maniam optimis bahawa Eain Yow, 25, dan Sivasangari, 24, akan berada di tahap kemuncak serta mampu menghuni kelompok 10 pemain terbaik dunia menjelang LA2028.

"Buat masa ini, Eain Yow berada dalam kedudukan kelompok 20 terbaik manakala Sivasangari meskipun berada di tangga ke-37, namun bermain seperti pemain teratas 20.

"Saya percaya dua-dua pemain ini mempunyai potensi untuk berada dalam kelompok 10 terbaik dunia dalam masa lima tahun dan mungkin berpeluang untuk memenangi pingat untuk Malaysia di Los Angeles," katanya.

Selain Eain Yow dan Sivasangari, Maniam juga percaya bahawa pasangan adik-beradik Aifa dan Aira Azman serta pemain perseorangan lelaki, Ameeshenraj Chandaran menjadi prospek pingat atau berada dalam kelompok 10 terbaik dunia pada masa itu.

Berdasarkan potensi menyumbang pingat pada LA28, Maniam berkata SRAM akan berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengenai rancangan untuk membantu pemain berkenaan mencapai kecemerlangan di Los Angeles.

Sementara itu, katanya, SRAM sangat gembira dengan keputusan Lembaga Eksekutif Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) Jumaat lalu untuk menyenaraikan acara perseorangan skuasy sebagai salah satu daripada lima sukan tambahan pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Empat lagi sukan tambahan itu ialah kriket, sukan tradisi Amerika Syarikat iaitu flag football, lacrosse dan besbol-sofbol pada temasya LA28 itu.

Maniam berkata komuniti skuasy gembira mengetahui bahawa semua usaha keras oleh Persekutuan Skuasy Dunia sepanjang dekad lalu akhirnya membuahkan hasil dengan pengiktirafan skuasy oleh IOC dan akan membuat penampilan sulungnya di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2023 @ 7:16 PM