POGACAR mahu penamat manis di perlumbaan Monumen itu. FOTO Reuters
POGACAR mahu penamat manis di perlumbaan Monumen itu. FOTO Reuters
AFP

Milan: Tadej Pogacar sekali lagi menjadi pelumba yang perlu ditewaskan apabila dia membuat satu lagi percubaan untuk memenangi Milan-San Remo buat kali pertama selepas sudah menggondol satu kemenangan besar musim ini.

Pemenang Tour de France berganda itu ialah nama terbesar dalam perlumbaan yang ramai disertai bintang berbasikal untuk 'La Classicissima', perlumbaan Monumen pertama dan menandakan ketibaan Musim Bunga.

Pelumba berusia 25 tahun itu meledakkan persaingan di Tuscany dengan serangan solo ketika berbaki 81 kilometer (km), dan semua mata akan tertumpu kepadanya apabila kembali beraksi.

Pogacar mempunyai rekod perlumbaan hebat di Itali, memenangi Strade Bianche dan Tirreno-Adriatico dua kali dan meraih kemenangan dalam setiap tiga edisi terakhir Il Lombardia klasik penutup musim.

Dia juga menyertai Giro d'Italia buat kali pertama tahun ini.

Musim ini perlumbaan bermula di bandar Pavia, yang terletak kira-kira 30 kilometer ke selatan Milan, dan membawa pelumba sejauh 288km dari dataran Lombardy ke Riviera Itali.

"Ia tamat tidak terlalu jauh dari tempat saya tinggal di Monaco jadi saya tahu bahagian terakhir perlumbaan dan pendakian akhir agak baik," kata Pogacar selepas pasukan UAEnya mengumumkan skuad mereka untuk perlumbaan.

"Seperti yang kita lihat sebelum ini, perlumbaan ini adalah antara yang paling sukar untuk dimenangi dan boleh berakhir dengan banyak keputusan. Yang pasti kami akan membuat perancangan dan meletakkan diri kami pada kedudukan yang terbaik. Ia adalah perlumbaan yang kami sangat suka untuk menangi."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 12:59 PM