POGACAR meraikan kejayaan dengan memakai jersi hijau. FOTO AFP
POGACAR meraikan kejayaan dengan memakai jersi hijau. FOTO AFP
AFP

Milan: Juara Tour de France, Tadej Pogacar muncul juara Tirreno-Adriatico selepas tamat peringkat ketujuh dan akhir 'Race of the Two Seas' sekali gus kejuaraan keduanya tahun ini.

Pelumba Slovenia itu mencatat satu minit tiga saat mengatasi jaguh Belgium, Wout van Aert dalam carta keseluruhan selepas menyerlah dalam ujian masa 10.1km di San Benedetto del Tronto.

Pelumba Sepanyol, Mikel Landa dari pasukan Bahrain di tangga ketiga keseluruhan dengan catatan 3 minit 57 saat dalam perlumbaan yang berakhir di pesisir pantai Adriatic.

"Ia permulaan fantastik musim ini,'' kata Pogacar yang menjuarai Jelajah UAE bulan lalu.

Pelumba UAE Team Emirates, Pogacar yang menjuarai Tour de France tahun lalu menduduki tempat keempat semalam, 12 saat di belakang Van Aert.

"Ia minggu perlumbaan yang sukar. Salah satu kejohanan seminggu paling berprestij, jadi saya gembira muncul juara.

"Tetapi sekarang saya perlukan sedikit rehat sebelum meneruskan cabaran musim ini.''

Sementara itu, Van Aert mempamerkan kayuhan bertenaga pada hari terakhir mengatasi juara ujian masa Eropah dari Switzerland, Stefan Kung dan juara dunia dari Itali, Filippo Ganna.

"Ini kali pertama saya menyasarkan GC (klasifikasi umum) pada saingan peringkat dan saya hanya tewas kepada juara Tour de France," kata pelumba Jumbo-Visma itu yang akan menyertai Milan-San Remo selepas ini.

"Saya sangat gembira dengan kemenangan ini apatah lagi bersaing dengan ramai jaguh ujian masa. Ia permulaan sempurna untuk musim ini.''

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 1:32 PM