POGACAR juara Strade Bianche.
POGACAR juara Strade Bianche.
Agensi

Paris: Juara dua kali Tour de France dari Slovenia Tadej Pogacar mempamerkan kayuhan solo cemerlang untuk menjuarai Strade Bianche di Tuscany semalam.

Pelumba Team Emirates UAE itu melakukan 'serangan' ketika jarak berbaki 81 kilometer (km) daripada perlumbaan sejauh 215km.

Dia menamatkan kayuhan dengan catatan rekod dua minit 44 saat mengatasi pelumba di tangga kedua Toms Skujins di Siena manakala juara bertahan dari Britain, Tom Pidcock keempat.

Sementara itu, juara lebuh raya dunia dari BelgiumLotte Kopecky muncul juara kategori wanita yang turut menyaksikan pelumba Britain Lizzie Deignan hanya menduduki tangga ke-27.

Pogacar, 25, memberikan amaran awal kepada pencabar lain dengan kemenangan pertamanya dalam perlumbaan musim ini.

Juara Tour de France itu akan berusaha merampas kembali gelaran tahun ini daripada Jonas Vingegaard yang memenangi jersi kuning sejak dua tahun lalu dan dia juga berazam melengkapkan gelaran berganda Giro d'Italia-Tour de France buat kali pertama.

Sasaran utama Pogacar selepas ini ialah kemenangan pertama di Milan-San Remo pada 16 Mac yang juga perlumbaan pertama daripada lima perlumbaan klasik sehari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 12:17 PM