BERTRAND ketika beraksi di Kejohanan Akuatik Dunia. - FOTO AFP
BERTRAND ketika beraksi di Kejohanan Akuatik Dunia. - FOTO AFP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Satu program latihan khas bakal disusun buat penerjun negara, Bertrand Rhodict Lises bagi mempersiapkannya menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.

Menurut Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MAS) Andy Low, program khas itu termasuklah perancangan menghantar Bertrand yang berusia 19 tahun menjalani latihan di luar negara seperti di Amerika Syarikat, Mexico dan Singapura.

"Kami merancang satu program latihan khusus untuk Bertrand bagi membolehkan dia menampilkan prestasi terbaik di Olimpik Paris. Ada kemungkinan kita akan menghantar dia menjalani latihan di luar negara," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Bedah Siasat Bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) semalam.

Ujar Andy, dalam masa yang sama mereka juga perlu melihat jurulatih negara yang berada dalam perancangan mereka itu boleh memberi tumpuan kepada Bertrand atau tidak.

"Tiada guna kita hantar dia tetapi jurulatih di sana tiada masa untuk melatihnya. Itu yang kita sedang kaji sekarang.

"Bertrand sememangnya bersedia untuk mengikuti program latihan yang agresif dan jika semuanya berjalan seperti yang dirancang, dia bersedia untuk melakukannya," katanya.

Bertrand menjadi penerjun tunggal negara yang berjaya menempah tiket ke Paris menerusi acara 10 meter (m) platform individu ketika beraksi di Kejohanan Akuatik Dunia di Fukuoka, Jepun, tahun lalu.

Dalam pada itu, Andy, berkata pihaknya berpandangan Bertrand seharusnya disenaraikan dalam program Road to Gold (RTG) susulan pencapaiannya layak ke Olimpik Paris.

Ketika ini, hanya dua penerjun wanita, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri yang berada dalam RTG sejak ia diperkenalkan pada Mac tahun lalu tetapi kedua-dua nya tidak berjaya menyambar tiket ke Paris.

"Seharusnya Bertrand disenaraikan (dalam RTG), saya difahamkan Jawatankuasa RTG akan bermesyuarat pada hujung bulan ini dan biar mereka yang putuskan. Namun, sekiranya masih tidak disenaraikan, kita akan buat rayuan," katanya.

Tambah Andy, mengenai kedudukan Pandelela dan Nur Dhabitah dalam Program RTG sama ada digugurkan atau sebaliknya ia bergantung kepada jawatankuasa program berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 5:50 PM