HANNAH Yeoh.
HANNAH Yeoh.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Permintaan sebahagian atlet para renang negara memohon agar jurulatih yang direhatkan ekoran tuduhan gangguan seksual baru-baru ini kembali melatih mereka agar segala yang dirancang dapat dilakukan.

Perkara ini susulan temasya Paralimpik Paris 2024 hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi dan mereka tidak mahu perkara itu menganggu persiapan yang sedang dijalankan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pihaknya dan Majlis Sukan Negara (MSN) akan teliti perkara itu sebelum memberi jawapan balas kepada permintaan itu.

"Ada atlet telah meminta kerana mereka (atlet para renang) akan bertanding di Sukan Paralimpik Paris 2024 tinggal beberapa bulan lagi dan atlet telah meminta supaya latihan disambung kerana mereka tidak mahu proses penyediaan diri untuk ke Sukan Paralimpik nanti terganggu.

"Majlis Sukan Negara sedang melihat permintaan atlet ini. Yang paling penting adalah kita nak pastikan sebelum latihan bermula, ada mekanisme selamat yang kita wujudkan (Kod Sukan Selamat) untuk pastikan mereka (atlet para) dilindungi,"katanya ketika ditemui selepas ditemui di majlis perasmian seminar Kod Sukan Selamat di Institut Sukan Negara (ISN), hari ini.

Untuk makluman, jurulatih itu sudah bersama pasukan sejak 2017 dan dia sudah direhatkan dari menjalankan tugas selaku pelatih selepas dirinya dituduh dan di dakwa melakukan gangguan seksual kepada atlet para renang dan isu ini berada dalam siasatan polis ketika ini.

Pada masa sama, Hannah berkata, sekiranya email atau 'surat layang' yang diterima itu tidak benar, pihaknya akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang terlibat.

"Sebab itu MSN telah keluarkan kenyataan bahawa sebelum ini mereka memang tidak pernah mendapat sebarang laporan dan selepas mereka dapat email atau dalam bentuk 'surat layang' dan ada laporan Polis telah dilakukan. Maka kita terus merehatkan dulu jurulatih untuk pastikan siasatan berjalan.

"Tetapi kalau pelaporan semua ini terus berjalan seperti sedia ada dan kalau surat layang itu tidak betul, saya akan pastikan tindakan undang undang diambil.

"Sebab kita nak meminta supaya polis menjalankan siasatan dengan efisien kerana atlet kita dalam persiapan untuk paralimpik," kata Hannah.

Sebelum ini MSN melalui kenyataan rasmi menyatakan akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana jurulatih sekiranya didapati melakukan salah laku dalam program latihan MSN dan penamatan kontrak akan dilakukan serta merta.

Terdahulu Arena Metro melaporkan kes membabitkan seorang jurulatih renang yang dikatakan terbabit dalam gangguan seksual terhadap atlet di bawah bimbingannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 2:48 PM