CINDY Ong mengaku pernah mengalami gangguan seksual. FOTO Cindy Ong
CINDY Ong mengaku pernah mengalami gangguan seksual. FOTO Cindy Ong
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail mengambil maklum berhubung isu yang sedang hangat diperkatakan iaitu gangguan seksual ke atas atlet negara.

Ia merujuk kepada kes Cindy Ong, bekas atlet negara yang kembali menceritakan bahawa dia pernah mengalami gangguan seksual oleh seorang yang bergelar jurulatih ketika dalam kem kebangsaan negara.

Shapawi berkata, beliau sudah menghubungi Cindy dan akan mengadakan perbincangan lanjut dengan atlet itu dalam masa terdekat ini bagi melihat dengan lebih terperinci mengenai perkara itu.

"Sehingga perbincangan diadakan, pengurusan MSN berharap agar kita termasuk Cindy diberikan ruang sedikit bagi meneliti pendekatan terbaik menangani isu itu.

"MSN ingin memaklumkan bahawa kesemua atlet dan jurulatih malahan pegawai yang dan sedang terbabit di dalam program latihan persediaan atlet di bawah MSN mempunyai pelbagai platform untuk mengemukakan sebarang aduan berkaitan salah laku atau gangguan dalam sukan," katanya.

Shapawi menjelaskan MSN sudah menyediakan beberapa platform bukan hanya kepada atlet malah kepada semua yang menjadi mangsa untuk melaporkan perkara berkenaan.

Antara platform adalah Jawatankuasa Perwakilan Atlet yang sudah diwujudkan pada 2016, talian 'careline' bagi sebarang aduan juga boleh digunakan oleh atlet, jurulatih, pegawai sukan di bawah program MSN.

Talian berkenaan wujudkan pada April 2020 dan sebarang aduan boleh dikemukakan melalui emel kepada [email protected] atau melalui no telefon, 03 – 8992 9778 / 8992 9809.

Atlet juga boleh melaporkan sebarang ketidakselesaan mereka melalui jurulatih dan pegawai sukan dari Persatuan Sukan Kebangsaan, Institut Sukan Negara bagi membincangkan sebarang permasalahan berkaitan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) dan Mesyuarat Jawatankuasa Program (JKP) yang dilaksanakan secara berkala dari semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Mei 2021 @ 6:56 PM