MSN membuat siasatan menyeluruh dan terperinci sebelum membenarkan jurulatih para renang itu kembali bertugas.
MSN membuat siasatan menyeluruh dan terperinci sebelum membenarkan jurulatih para renang itu kembali bertugas.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) menegaskan keputusan membenarkan jurulatih para renang negara yang sebelum ini disabitkan dengan salah laku seksual kembali meneruskan tugas, adalah tepat.

MSN dalam satu kenyataan menjelaskan siasatan menyeluruh dan terperinci sudah dilakukan sebelum keputusan itu dibuat.

"Keputusan itu dibuat selepas hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jawatankuasa Salah Laku dan Perlindungan Dalam Sukan (JSPS).

"MSN mendapati tiada bukti menyokong dakwaan berkenaan," katanya.

Untuk maklum, JSPS MSN sudah menemubual 11 saksi dan meneliti keterangan dalam dokumen berkaitan sebelum mencapai keputusan berkenaan.

Adalah menjadi komitmen MSN untuk sentiasa mengutamakan persekitaran selamat kepada semua pihak yang terbabit dalam program latihan kendalian MSN dan MSN tidak pernah berkompromi dengan sebarang perlakuan yang memudaratkan atlet negara.

Pada masa sama, MSN mahu mengingatkan semua pihak betapa kesejahteraan mental dan fizikal atlet dan jurulatih perlu sentiasa diutamakan dan sebarang dakwaan tanpa mengemukakan bukti mampu menjejaskan mereka yang dalam persiapan untuk menghadapi temasya sukan utama dunia.

MSN sebelum ini memaklumkan dakwaan aduan salah laku seksual membabitkan jurulatih para renang negara seperti yang dilaporkan media sebelum ini kini diklasifikasikan sebagai 'No Further Action' (Tiada Tindakan Lanjut).

Ini selepas polis yang melakukan siasatan pada 26 Mac lalu memaklumkan kepada MSN, kes itu diklasifikasikan NFA kerana tiada bukti yang menyokong dakwaan berkenaan.

MSN turut memutuskan supaya jurulatih berkenaan dibenarkan kembali untuk melatih perenang para negara yang sedang dalam persiapan ke Sukan Paralimpik Paris 2024.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2024 @ 8:41 PM