MAJLIS Sukan Negara (MSN).
MAJLIS Sukan Negara (MSN).
Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) memaklumkan bahawa dakwaan salah laku seksual membabitkan jurulatih para renang sebelum ini, diklasifikasikan sebagai 'No Further Action' (Tiada Tindakan Lanjut) kerana tiada bukti yang menyokong dakwaan berkenaan.

MSN dalam satu kenyataan memaklumkan perkara itu selepas siasatan terperinci dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MSN menerusi Jawatankuasa Salah Laku dan Perlindungan Dalam Sukan (JSPS), pada 26 Mac 2024.

"Hasil penelitian siasatan termasuk menemubual pelbagai pihak yang berkaitan dan menerusi cadangan yang diberikan JSPS, MSN mendapati tiada sebarang asas atau saksi untuk menyokong dakwaan salah laku berkenaan.

"Sehubungan itu, MSN memutuskan supaya jurulatih berkenaan diberikan semula tanggungjawab melatih perenang para negara yang sedang bersiap untuk temasya Sukan Paralimpik Paris dalam tempoh terdekat ini," kata kenyataan itu.

MSN sentiasa berusaha memastikan persekitaran selamat kepada semua pihak yang terbabit dalam program latihan kendalian MSN dan tidak pernah memandang ringan mana-mana aduan salah laku yang dikemukakan.

Jelas kenyataan itu, MSN memiliki prosedur aduan dan siasatan yang menyeluruh serta telus, termasuk keutamaan melindungi privasi dan kerahsiaan semua pihak yang terbabit dalam mana-mana siasatan yang dijalankan.

Sehubungan itu, MSN berharap semua pihak, termasuk media massa, memahami bahawa kesejahteraan mental dan fizikal atlet para sentiasa menjadi keutamaan MSN.

Hak dan keperluan atlet para ini perlu dijaga dan MSN sentiasa sedia mengambil tindakan perlu demi membantu menangani spekulasi dan laporan tidak tepat yang menjejaskan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 1:45 PM