MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. FOTO BENAMA
MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. FOTO BENAMA
Amirul Fazli Zulkafli


Putrajaya: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merangka beberapa strategi bagi menggalakkan sukan dalam kalangan warga emas untuk memastikan tahap kesihatan fizikal, rohani dan mental mereka dalam keadaan baik.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, usaha awal dilakukan dengan mengadakan Sesi Perbincangan Meja Bulat (RTD) berkaitan pembudayaan sukan dalam kalangan warga emas.

Beliau berharap penglibatan warga emas secara aktif di dalam sukan dapat mengurangkan kos rawatan akibat masalah kesihatan.

"KBS akan mula beri fokus dan sediakan dana buat program untuk bantu warga emas kekal aktif.

"Harapan saya kita akan mula mengurangkan perbelanjaan rawatan warga emas supaya mereka akan mempunyai gaya hidup sihat dan anak boleh kerja tanpa risau kesihatan (ibu bapa) mereka.

"Kita ada bajet KBS yang diluluskan tahun lepas dan kita sudah ada program untuk dilaksanakan. Cuma kita nak buat sedikit perubahan selepas dengar semua "Untuk gaya hidup ini sebenarnya tiada had untuk bersukan, semua orang boleh bersukan. Pandangan tadi (perbincangan meja bulat) jangan bermula umur 60-an tetapi umur 50-an pun kita boleh galakkan untuk bersukan," katanya selepas sesi perbincangan meja bulat berkaitan pembudayaan sukan dalam kalangan warga emas, hari ini.

KBS dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 2023, populasi penduduk Malaysia yang berumur 60 tahun ke atas kini mencecah 11.1 peratus dan statistik ini dijangka meningkat kepada 15 peratus menjelang 2030 menjadikan Malaysia dikategorikan sebagai sebuah negara menua, menurut definisi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Usaha KBS ini selari dengan pendekatan mencegah lebih baik daripada mengubati bagi penyakit tidak berjangkit (non communicable diseases – NCD) serta diharapkan dapat mengurangkan beban bil perubatan yang tinggi kepada kerajaan.

"Sesi ini untuk mendapatkan pandangan, idea dan maklum balas daripada pemegang taruh sukan warga emas termasuk daripada jabatan/agensi Kerajaan, sektor swasta, badan sukan, dan pertubuhan bukan kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 7:07 PM