AZFAR tidak dibenarkan beraksi dI Sukma 2020 di Johor tahun depan. FOTO Ihsan MSNT
AZFAR tidak dibenarkan beraksi dI Sukma 2020 di Johor tahun depan. FOTO Ihsan MSNT
Malik Muhamad


SELEPAS berdiam diri, ketua jurulatih angkat berat Terengganu, Rahaimee Abd Rahim meletakkan harapan yang tinggi agar dua atletnya dibenarkan kembali beraksi pada pentas Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor pada 6 hingga 14 Mac tahun depan.

Beliau berkata, dua atlet berkenaan, Nurul Afiqah Muhammad Zamzuri dan Muhammad Azfar Kamaruddin berbakat besar bukan sahaja kepada negeri malah kepada negara.

"Besar harapan kami agar dua atlet ini dapat dibenarkan beraksi oleh Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) pada pentas Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor tahun depan.

"Bukan hanya bakat besar yang ada pada dua atlet itu, malah Sukma tahun depan adalah yang terakhir bagi mereka selepas melepasi umur yang ditetapkan.

"Jadi harapan kami agar PABM dapat mengkaji dan menilai semula keputusan yang sudah dibuat sebelum ini lagipun dua atlet itu sudah tamat tempoh penggantungan yang dikenakan badan induk itu selama lapan bulan," katanya.

Terdahulu menerusi menerusi dua surat yang dihantar PABM bertarikh 12 Ogos 2020 yang ditandatangani Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat menyatakan mesyuarat exco PABM pada 10 Ogos memutuskan Nurul Afiqah dan Muhammad Azfar tidak dibenarkan beraksi dalam Sukma di Johor pada 2021.

Bagaimanapun satu lagi surat menyatakan dalam mesyuarat yang sama memutuskan Nurul Afiqah

dibenarkan menyertai Program Latihan Atlet Negara sebagai persediaan ke temasya sukan antarabangsa pada 2021 dan 2022.

Namun yang menimbulkan persoalan dalam kem pasukan Terengganu, Nurul Afiqah yang sudah tamat penggantungan sudah beraksi mewakili negara pada pentas Sukan SEA Manila 2019 dalam kategori 45 kilogram dengan menduduki tempat keempat.

"Tapi kenapa dalam Sukma dua atlet yang mampu menghadiahkan pingat kepada pasukan negeri itu tidak dibenarkan beraksi, ini yang mengelirukan kami selepas sekian lama membimbing dua atlet itu ke temasya dwitahunan itu," kata Rahaimee.

Pada pentas Sukma ke-19 di Perak September 2018, Nurul Afiqah yang beraksi dalam kategori 48kg berjaya mengutip satu pingat emas dalam acara 'clean and jerk' dengan angkatan 81kg manakala satu gangsa dalam acara 'snatch' dengan angkatan 62kg.

Bagaimanapun pingat emas dan gangsa yang diraih atlet itu tidak kekal lama apabila ditarik balik pihak penganjur kerana didapati bersalah mengambil bahan terlarang jenis 'methylexanamine' sebelum digantung selama lapan bulan oleh PABM.

Begitu juga Muhammad Azfar yang tarik balik semula pingat perak dan gangsa berikutan terbabit dengan mengambil bahan terlarang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2020 @ 10:18 PM