ELLY memenangi emas hari ini. FOTO NSTP
ELLY memenangi emas hari ini. FOTO NSTP
Affan Rostam


Putrajaya: "Kalau boleh tolonglah jangan ambil bahan terlarang sebab susah untuk sampai ke tahap ini. Lebih baik angkatan kita itu biar 'bersih'. Jadi, jangan ambil risiko dengan cara yang sangat singkat."

Demikian kata atlet angkat berat wanita dari Sabah, Elly Cascandra Engelbert selepas membuktikan kejayaannya meraih pingat emas bagi ketegori bawah 55 kilogram (kg) dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2022, hari ini boleh dikecapi tanpa sebarang pengambilan bahan terlarang.

Elly, 22, yang juga atlet angkat berat kebangsaan itu mengakui dia terkejut apabila mendapat khabar berita berhubung pengambilan doping dalam kalangan beberapa atlet angkat berat pada temasya kali ini.

Malah, dia menganggap alasan tidak perasan atau tersalah ambil ubat sama sekali tidak releven.

"Bila dengar berkaitan isu ini di Sukma mestilah saya terkejut. Kenapa mereka sanggup ambil? Alasan tak perasan dengan pengambilan bahan seperti itu pada saya tidak relevan.

"Tapi saya tidak mahu terlalu memikirkan tentang perkara itu, saya hanya fokus kepada diri saya saja," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat di Kompleks Kejiranan, Presint 11, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai pencapaiannya di Sukma edisi ke-20 ini, dia berjaya merekodkan angkatan seberat 76kg untuk snatch dan 93kg untuk clean & jerk dan menjadikan jumlah angkatan keseluruhan, 169kg sekali gus mengesahkan pingat emas menjadi miliknya.

Manakala, Marthini Chan dari Sarawak meraih pingat perak dengan jumlah angkatan keseluruhan seberat 152kg (67kg, 85kg) dan pingat gangsa menjadi milik Alia Adani Johari dari Terengganu selepas merekodkan 141kg (61kg, 80kg).

"Saya puas hati sebab dapat kekalkan pingat emas semasa di Sukma Perak 2018. Saya tidaklah terlalu yakin untuk dapat emas hari ini, tapi saya tetap cuba yang terbaik.

"Memandangkan ini adalah Sukma terakhir saya, jadi saya berpuas hati dan gembira bila dapat sumbang emas untuk negeri Sabah," kata Elly.

Elly yang mula menceburi sukan angkat berat seawal usia sembilan tahun itu juga berkata, disiplin yang tinggi menjadi kunci utama untuk terus cemerlang dalam sukan ini.

"Perlu bersemangat, mental perlu bersedia dan latihan mesti cukup. Apa yang paling penting adalah disiplin dan komunikasi dengan jurulatih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 3:52 PM