ABDILA  memenangi acara akhir lelaki 96kg. FOTO Saifullizan Tamadi
ABDILA memenangi acara akhir lelaki 96kg. FOTO Saifullizan Tamadi
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kata-kata hikmah menjadi sandaran buat atlet angkat berat Kuala Lumpur, Abdila Iyad Abdul Jalil untuk memenangi tempat pertama kategori 96 kilogram (kg) lelaki pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022.

Menerusi acara final di Pusat Komuniti Presint 11, Putrajaya sebentar tadi, atlet berusia 19 tahun itu memastikan emas menjadi miliknya selepas melakukan angkatan 125 kilogram (kg) dalam acara snatch dan 160kg menerusi clean and jerk.

Walaupun tidak meletakkan sebarang harapan tinggi memenangi emas namun isu doping yang tercetus sebelum ini nyata membuka jalan kepadanya memenangi acara itu dengan angkatan keseluruhan 285kg. "Syukur Alhamdulillah kerana apa yang buat hari ini melebihi catatan terbaik peribadi (PB) untuk clean and jerk, iaitu 155kg. Saya juga gembira dapat hadiahkan pingat emas untuk pasukan Kuala Lumpur.

"Saya cakap bukan prospek adalah kerana saya bukanlah atlet senior dan ini merupakan Sukma pertama. Saya juga baru menjalani latihan selama lima tahun, jadi ini rezeki dapat memenangi emas.

"Sebelum ini, pengurus pasukan membawa kami menjalani latihan di Jasin, Melaka dan keadaan di situ cukup panas. Kami juga melakukan panggilan video dengan Hidilyn (Diaz) dan dia memberi kata-kata semangat untuk kami," katanya.

Selain itu, Abdila mengakui jika atlet Terengganu yang dibatalkan penyertaan kerana isu doping hadir pada pertandingan itu kemungkinan peluangnya untuk memenangi pingat emas mungkin tipis.

"Secara peribadi, sepatutnya saya hanya menang perak di sini tetapi atlet Terengganu 'sangkut' doping. Jika dia ada, mungkin sukar untuk saya dapatkan pingat emas," katanya yang mula terbabit secara serius sukan angkat berat sejak berusia 14 tahun.

Pada acara berkenaan atlet Sarawak, Hussein Omar Mayah yang mengangkat bebanan keseluruhan 255kg memenangi pingat perak manakala gangsa menjadi milik Nur Syahmi Mohd Nazri dari Perak dengan angkatan keseluruhan 250kg.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2022 @ 5:29 PM