RAHIMI kini mengikuti latihan di MSN.
RAHIMI kini mengikuti latihan di MSN.
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Badang Pahang, Rahimi Sulaiman berjanji untuk memberi yang terbaik bagi membalas kepercayaan diberikan selepas dia kini terpilih berada dalam kem angkat berat negara.

Bukan janji manis bulan dan bintang tetapi memadai untuk berusaha mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa dalam kategori 55 kilogram (kg) acara snatch.

Menurut atlet kelahiran Rompin itu, dia mula dipanggil untuk bersama pasukan kebangsaan bulan lalu dan kini sedang mengikuti latihan di Majlis Sukan Negara (MSN).

Katanya, dia kini bersama MSN sepenuh masa sehingga 2025, selain mengikuti latihan setiap hari pelbagai program lain turut diadakan termasuk menyertai pertandingan dipentas antarabangsa.

"Peluang menyertai pasukan angkat berat negara seolah membuka peluang kepada saya untuk melangkah lebih jauh dan melakar kejayaan dalam sukan angkat berat di peringkat antarabangsa.

"Saya meletakkan bekas atlet angkat berat negara yang memenangi pingat emas pada Sukan Komanwel 2002, Amirul Hamizan Ibrahim sebagai idola yang perlu dijadikan contoh sekiranya ingin mencipta kejayaan," katanya, dihubungi di sini hari ini.

Beliau menambah, selepas empat tahun sebagai atlet angkat berat Pahang, akhirnya impian berada dalam pasukan kebangsaan kini menjadi kenyataan.

Tumpuan kini lebih kepada usaha melakukan angkatan yang terbaik. Mengenai peluang merangkul pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024 Sarawak, Rahimi berkata, dia begitu berhajat untuk melakar kejayaan tertinggi selepas mengadakan persiapan lebih dua tahun.

"Saya meletakan impian untuk membuat angkatan lebih 100kg dalam acara snatch, hanya itu sahaja yang akan memberi peluang kepada saya untuk meraih pingat emas yang diharapkan.

"Saya percaya saingan daripada atlet Perlis, Terengganu dan Selangor sekali lagi akan diterima. Siapa yang lebih gagah membuat angkatan, mereka akan pulang dengan kilauan pingat emas," katanya yang kali kedua bersaing di pentas Sukma.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 5:24 PM