ARYNA bersama trofi Terbuka Australia yang berjaya diraihnya. FOTO AFP
ARYNA bersama trofi Terbuka Australia yang berjaya diraihnya. FOTO AFP
AFP

Melbourne: Aryna Sabalenka memenangi gelaran Grand Slam kedua di Terbuka Australia hari ini dengan mempamerkan kehebatan permainan yang tidak perlu diragui disamping kekuatan mental, serta lebih santai.

Berikutan kejayaannya di Melbourne Park tahun lalu untuk merangkul kejuaraan utama pertama, pemain Belarus berusia 25 tahun itu sekali lagi menunjukkan dia mempunyai apa yang diperlukan untuk muncul juara, menewaskan pilihan ke-12 dari China, Zheng Qinwen 6-3, 6-2.

Kehebatan yang ketara dalam cuaca sejuk di Melbourne menghilangkan ketakutannya, nasib yang menimpa ramai rakan seangkatannya sejak era dominan Serena Williams.

Dengan kejayaan berkenaan, dia menjadi pemain wanita pertama yang berjaya mempertahankan kejuaraan di Melbourne Park sejak rakan senegara, Victoria Azarenka pada 2013.

"Saya fikir dengan pemikiran agar tidak menjadi 'gila' di gelanggang membuatkan saya tidak tergesa-gesa," kata pemain nombor dua dunia itu, yang kini memiliki 14 gelaran.

"Anda tahu, saya hanya bermain mata demi mata, dan itu sahaja, dan berjuang untuk setiap mata tanpa terlalu memikirkan mengenai impian saya, apa yang saya mahu lakukan, berapa banyak Slam yang saya mahu menang dan semua perkara itu.

"Saya dapat memisahkan diri saya daripada mentaliti seperti itu dan mula fokus pada diri saya sendiri dan fokus pada perkara yang boleh saya perbaiki dan saya boleh menjadi lebih baik, dan apa yang sebenarnya saya perlu lakukan untuk memenangi setiap perlawanan yang saya mainkan."

Kejayaannya di Melbourne musim lalu, yang disusuli dengan mara ke separuh akhir di Paris dan di Wimbledon sebelum mara ke final Terbuka Amerika Syarikat, amat berbeza dengan prestasinya dua tahun lalu.​

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2024 @ 6:44 PM