DAYANA meraikan kejayaan mara ke separuh akhir Terbuka Australia, hari ini. FOTO AFP
DAYANA meraikan kejayaan mara ke separuh akhir Terbuka Australia, hari ini. FOTO AFP
Reuters

Melbourne: Dayana Yastremska menewaskan pemain Republik Czech, Linda Noskova, 6-3 dan 6-4, hari ini, sekali gus muncul pemain wanita pertama dari pusingan kelayakan layak ke separuh akhir sejak kejohanan diadakan di Melbourne pada 1978.

Beraksi di bawah suhu 30 darjah Selsius, pemain Ukraine itu menampilkan pukulan forehand padu untuk mengatasi lawan berusia 19 tahun itu, yang juga pemain termuda masih kekal dalam kejohanan.

Dayana, 23, mengikut jejak langkah Christine Dorey, iaitu pemain pusingan kelayakan terakhir yang layak ke separuh akhir di Melbourne Park, 45 tahun lalu.

"Saya fikir memang bagus dapat mencipta sejarah kerana ketika itu saya belum dilahirkan," kata Dayana selepas perlawanan.

"Kini generasi berikutnya yang mencipta sejarah, jadi saya sangat gembira dan letih."

Selepas set pertama berakhir, kedua-dua pemain meninggalkan gelanggang seketika bagi mengelak bahang matahari dan Linda dilihat berbual panjang dengan jurulatihnya.

Perlawanan dilihat seimbang pada set kedua sebelum Dayana memenangi break point ketiga menerusi pukulan kilas.

Dia kemudian menamatkan impian Linda untuk memenangi kejohanan pertama dan muncul pemain kelayakan pertama mara sejauh itu di Grand Slam sejak Emma Raducanu memenangi Terbuka Amerika Syarikat pada 2021.

"Saya tidak rasa bermain dengan baik, saya hanya cuba bermain semampu mungkin kerana benar-benar letih," kata Dayana.

"Saya berusaha mencapai tahap semaksimum mungkin mampu dicapai dan bakinya adalah terus melawan."

Di separuh akhir, Dayana yang menduduki ranking ke-93 dunia yang sudah menumpaskan dua juara Grand Slam di kejohanan kali ini, akan berdepan sama ada Zheng Qinwen dari China atau pemain Rusia di ranking ke-75, Anna Kalinskaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 1:39 PM