DJOKOVIC meraikan kemenangannya selepas menewaskan Mannarino. -FOTO AFP
DJOKOVIC meraikan kemenangannya selepas menewaskan Mannarino. -FOTO AFP
AFP

Melbourne: Novak Djokovic meneruskan rentak memburu rekod kejuaraan Grand Slam yang ke-25 apabila mengatasi pilihan ke-20, Adrian Mannarino seterusnya mara ke suku akhir Terbuka Australia.

Pemain Serbia meraikan kejayaannya menewaskan pemain Perancis di Rod Laver Arena apabila menang 6-0, 6-0, 6-3 dan meneruskan usahanya untuk menjulang gelaran ke-11 di Melbourne Park.

"Saya benar-benar mahu kalah dalam perlawanan itu pada set ketiga kerana ketegangan semakin memuncak di stadium," katanya bergurau sambil merujuk kepada kemungkinan menang tanpa tewas sebarang permainan.

"Saya hanya perlu menyingkirkannya dan fokus semula."

Pemain nombor satu dunia itu mara ke peringkat lapan terakhir Grand Slam buat kali ke-58, menyamai rekod Roger Federer ketika dia mengekalkan penguasaan di era kegemilangannya.

Dia kini memenangi 32 perlawanan berturut-turut di Terbuka Australia, belum pernah sejak tewas menentang pemain Korea Selatan, Chung Hyeon pada 2018.

Juara 10 kali itu tidak bertanding pada 2022 kerana status vaksinasi Covid-19.

Djokovic, 36, memulakan kempen Terbuka Australia 2024 secara perlahan-lahan, bergelut dengan virus dan kehilangan set dalam dua perlawanan pertamanya, tetapi tahapnya meningkat selepas itu.

Pemain Serbia yang setahun lebih tua daripada lawannya, berkata dia bermain "dengan hebat dari titik permulaan hingga terakhir".

Djokovic akan bertemu sama ada pilihan ketujuh Stefanos Tsitsipas atau pilihan ke-12 Amerika, Taylor Fritz untuk pemburuan tempat ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 2:08 PM